A.D Pirous. 80 tahun – Ja’u Timu
- Fadli Mokh
- Feb 2
- 2 min read
oleh Juhari Said
Sebenarnya saya tidak begitu sedar bahawa saya sudah mengenali Pak Pirous 21 tahun ! Bukan apa, kemanusiaan dan perkenalan dengannya begitu memanfaatkan, mendidik serta lucu sekali, sehingga tanpa disedari masa berlalu. Saya pertama kali bersuanya semasa pameran 5th Asian International Art Exhibition di Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur pada 1991.
Kemudian saya bertemunya lagi di Bandung apabila saya menyertai pameran Muhibah di Dacenta Gallery dan Braga Gallery dalam tahun yang sama. Pameran ini diusahakan oleh pelukis Sharifah Fatimah Zubir dan Pak Pirous. Dari sini saya mula mengenali Bandung dan beberapa orang senimannya dengan lebih dekat. Saya berjumpa Umi Dachlan, Heyi Mamun, Erna, Sunaryo, Setiawan Sabana dan ramai lagi, terutama yang terdidik di Institut Teknologi Bandung. Ternyata mereka begitu ramah dan akrab bersama tetamu.
Tahun berikutnya saya ke Bandung, sekali lagi menyertai pameran 7th Asian International Art Exhibition yang diadakan di Gedung Merdeka, Jalan Asia Afrika dimana delegasi Malaysia diketuai oleh pelukis Choong Kam Kaw. Ternyata saya begitu selesa di Bandung, dan setiap kali kesana saya akan bertemu dan berkunjung ke rumah Pak Pirous. Ramai diantara kami menggelarnya sebagai kepala suku. Dia akan tertawa gembira, tetapi dimatanya tetap terpancar ketegasan seorang seniman dan seorang guru.
Pada 1993, saya ke Fukuoka City Art Museum bersama delegasi Malaysia untuk menyertai 8th Asian International Art Exhibition. Disana saya bertemu Pak Pirous yang datang sebagai ketua delegasi Indonesia. Selepas Fukuoka, tidak lama kemudian saya ke Manila pula untuk mewakili Malaysia di 2nd Asean Workshop, Symposium & Exhibition of Esthetics. Disitu saya bertembung Pak Pirous, Rita Widodo, Anusapati dan Heyi Mamun.
Ketika saya begitu rancak mengembara di Eropah dan Jepun pada tahun 90 an, saya sering menulis surat kepadanya, bertanya khabar. Saya begitu ingin mengenali seniman besar ini walaupun saya begitu kecil jika dibandingkan dengan umurnya, pendidikan, penglibatan serta jasa – jasanya. Latar belakang keluarga dan sebagai pendidik membentuk peribadnya begitu. Dia begitu mengasihi dan meraikan pelukis – pelukis muda seperti saya ketika itu.
Semasa menghadiri Seminar Nasional A.D Pirous dan Manfaat Seni di Indonesia pada 20 Mac, 2012 di Institut Teknologi Bandung yang baru lepas, saya bertembung dengan beliau disana. Lalu dia datang kearah saya dan berkata, Juhari, you must come for dinner at my house and don’t run away, saya sambut dengan senyuman. Beliau sentiasa sihat, bertenaga dan gembira untuk meraikan usia emas yang ‘mahal’, ‘penting’, ‘dikagumi’, ‘direbut’, disanjung dan disayangi.
Alhamdullilah.

Bersama Pak Pirous di Nagasaki 1993

A.D Pirous 80 tahun

Seminar Seni Rupa dan Kebudayaan A.D Pirous 80 tahun

Seminar Seni Rupa dan Kebudayaan A.D Pirous 80 tahun

Dari kiri, Juhari Said, Dr. A. Khalil Shawkataly dari U.S.M Penang, Pak Pirous, Seniwati Christine Hakim, Prof. Rahman Mohamed dari U.S.M Penang semasa jamuan di Serambi Pirous

Dari kiri, Pak Pirous berdiri, dihujung sekali Mamun Mulia, Setiawan Sabana, Juhari Said dan pelukis Bunawijaya

Bersama Ucuk (kiri), ketika melawat perpustakaan di kediamannya di Bandung

Dari kiri, Ucok, Iwan Effendi, Ria, Heyi Mamun dan Juhari Said dalam karya yang dipamerkan di kediaman Ucuk

Dari kiri, Ucuk, Rosid, Heyi Mamun dan Juhari Said semasa melawat pameran Video Yusuf Ismail




Comments