top of page
Writer's pictureFadli Mokh

Jambatan

Updated: 10 hours ago

oleh Juhari Said



Setelah tamat perang dunia kedua, tahun 60an dan 70an merupakan peristiwa banjir besar. Gelombang sosio politik tinggi melanda, gelora jiwa anak muda menghempas dihiasi buih buih emosi yang berkelipan. Untuk jiwa yang lemah tampa tulang diri akan lemas tenggelam. Ketika itu khalayak hanya menyaksikan, kalau bernasib baik akan dipelihara atau disanjung dan ada juga yang dibiarkan sendirian mengolah diri. Pada 8 ogos 1967 kita melihat kematangan dan kesedaran pemimpin serantau apabila deklarasi ASEAN ditandatangani di Bangkok oleh menteri menteri dari lima buah negara, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand.


A.D Pirous dan Latiff Mohidin muda ketika berlaku banjir besar ini. Persahabatan mereka bermula di sebuah kota yang bernama New York pada 1970. Dua orang seniman muda ini bertemu menjadi sahabat dan kadang kadang mereka memasak bersama menjamu selera. A.D Pirous menuntut di Rochester Institute of Technology dan Latiff Mohidin pula di Pratt Printmaking Studio dan keduanya ditaja oleh geran J.D Rockefellar. Awal 1973 Latiff berkunjung ke Bandung mencari sahabatnya Pirous dan saya diberitahu bahawa dia juga berjumpa Mokhtar Apin. Pak Latiff pernah mencadangkan kepada saya jika mahu menulis tentang seni grafis di Indonesia cari Pirous dan Mokhtar Apin. Kalau Filipina carilah Rod Paras Peres. Kemudian Latiff menghilang diri. Sebagai wakil Balai Seni Lukis Negara Malaysia Sharifah Fatimah Zubir juga telah berkunjung ke Bandung untuk berjumpa A.D Pirous seawal tahun 70an berbincang tentang kegiatan kesenian Islam seniman di Indonesia. Pada 2007 Pak Latiff menelefon saya bertanya nombor telefon Pak Pirous. Rupanya beliau mahu ke Bandung, singgah untuk menghadiahkan buku Voyage-Kembara dan terjemahan puisi-puisi Rumi, Rubaiyat Khayyam kepada sahabat lamanya. Setelah itu Latiff menghilang diri lagi. Ketika Pak Pirous bercadang merayakan hari jadinya yang ke 83 tahun di Kuala Lumpur beliau mahu saya ke datang Bandung. Di rumahnya saya diberi tiga tugas utama. Mencari tempat pameran, menulis dan beliau mahu berjumpa Latiff Mohidin. Tugas pertama dan kedua terlaksana sebagai satu projek Asian Master di Universiti Malaya. Pameran itu berlangsung di UMAG (University Malaya Art Gallery) dan Muzium Seni Asia tetapi tugas yang ketiga itu tidak berjaya. Hajat beliau berjumpa Latiff Mohidin tidak kesampaian lalu beliau berkata kepada saya, tidak ada seniman seperti Latiff ini di negara saya Indonesia.


Seperkara lagi peristiwa yang perlu saya ceritakan adalah persahabatan antara Setiawan Sabana dan Raja Azhar di Victoria Australia pada 1979. Raja Azhar seorang pelukis jalanan yang mula bertapak tahun 70an di Benteng dan Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur sebelum berhijrah dan belajar di Victorian College of Arts, Australia. Setiawan Sabana ketika itu menjadi residen artis di Victorian Collage of Arts, Melbourne pada 1979. Beliau pernah memberitahu saya bahawa Raja Azhar adalah pelukis Malaysia yang pertama dikenalinya.


Jika diperhatikan tahun 80an bermulanya banyak kegiatan kesenian yang proaktif dikalangan negara negara Asia Pasifik khususnya ASEAN. Selain kerjasama ekonomi dan pendidikan aktiviti kesenian amat rancak dan memberangsangkan. Sekretariat ASEAN menggalakkan kerjasama kesenian tersebut dengan bermulanya pameran kesenian bergerak ke seluruh ibu kota negara ASEAN. Kesenian ASEAN ketika itu begitu perkasa. Pameran di Jakarta 1980 bergerak terus ke Bangkok pada 1981. Kemudian dilanjutkan ke Kuala Lumpur pada 1983. Ini kerjasama paling hebat dan efisyen yang pernah saya saksikan oleh Kerajaan ASEAN . Ketika itu saya baru habis kuliah di Institut Teknologi Mara(UITM) dan usia masih 22 tahun. Bukan setakat itu sahaja, program pendidikan kesenian untuk kanak kanak dan belia seperti Asean Youth Workshop untuk belia melawat serta belajar di universiti negara Asean dibawah bimbingan seniman lokal. Disamping itu juga diadakan simposium estetika dan bengkel untuk pelukis ASEAN.

Kulit buku dan katalog pameran The 2nd ASEAN Workshop, Exhibition, and Symposium on Aesthetics (Manilla, Philipines: 8-21 October 1993)

Peserta Workshop ASEAN di Manilla, Philipines

`

Saya dan Heyi Mamun (kiri) sedang melukis di ASEAN Workshop Manilla 1993

Saya adalah salah seorang pelukis muda yang pernah menyertai bengkel dan simposium tersebut pada 1993 di Manila. Disana saya berkenalan rapat dengan Heyi Mamun dan A.D Pirous serta ramai lagi seniman-seniman dari negara Asean. Saya masih teringat bahawa saya menghadiahkan dua potongan lino siri baju kurung kepada A.D Pirous semasa simposium tersebut. Juga perlu diingatkan bahawa bukan semua peserta yang terpilih oleh sekretariat ASEAN itu memanafaatkan rezki dan anugerah tersebut.


Karya Gurisan Asid oleh Tisna Sanjaya yang dihadiahkan kepada Sharifah Fatimah Zubir pada 1989.

Tisna Sanjaya pertama kali saya bertemu pada 1989 di Balai Seni Kuala Lumpur. Beliau menghadiahkan gurisan asid yang di buat pada 1986 semasa belajar di Institut Teknologi Bandung. Sekarang tersimpan dengan baik di rumah Sharifah Fatimah Zubir. Ini sebuah gempita ASEAN yang kita perlu pelajari kerana semua sekretariat bekerja tanpa teknologi digital seperti sekarang. Dari tahun 80an juga berkembang pameran seperti Asian Art di Fukuoka Art Museum iaitu sebelum tertubuhnya Asian Art Museum pada 1999 (AJIBI). Pameran The 1st Asian Art Exhibition di Manama Bahrain menggabungkan ramai seniman Asian. Dari Indonesia A.D Pirous, Srihadi S dan H.Hidayat maka dari Malaysia Ahmad Khalid Yusoff, Ibrahim Hussein dan Syed Ahmad Jamal.


Ushiroshoji Masahiro (pertama dari kiri), salah seorang kurator awal Asian Art Museum dan saya semasa saya berada di Fukuoka pada musim bunga 90-an.


Untuk pertama kalinya Malaysia menganggotai gabungan seniman Asia Pasifik diketuai oleh Dr. Choong Kam Kow dalam pameran 3rd Asian International Art Exhibition (AIAE) di Fukuoka Art Museum pada 1988. Pameran ini diasaskan oleh dua buah negara iaitu Jepun dan Korea.


Mr. Sukeo Akiyoshi (tengah), salah seorang pengasas AIAE dari Fukuoka Jepun diapit oleh Long Thean Shih (kiri) dan saya (kanan) semasa berkunjung ke Malaysia.


Saya ikut serta untuk pertama kalinya dalam pameran ini. Di akhir 1989 muzium tersebut dengan berbesar hati telah menjemput seniman seni grafis dari 15 buah negara Asian untuk berkarya disana sempena Pameran The 3rd Asian Art Show di Fukuoka Art Museum. Dari Malaysia Long Thien Shih dan Indonesia A.D Pirous. Di sana mereka berdua bertemu dengan Pandy Aviado dari Manila dan Tavorn Kuodowit dari Bangkok. Jaringan ‘Asian Brotherhood’ semakin luas dan lebar. Dari sini AIAE berkembang subur. Persahabatan menjadi semakin rapat, mesra dan sejati! Pada tahun yang sama Malaysia menyertai pameran AIAE ke IV di Seoul.


Papan iklan semasa Pameran AIAE ke IV di Seoul.

Saya masih teringat Long Thien Shih menaiki feri dari Fukuoka ke Busan dan berjumpa kami di Seoul meninggalkan A D. Pirous, Pandy Aviado dan lainnya di Muzium Fukuoka membuat seni grafis. Ketika itu saya berusia 28. Gabungan AIAE ini bergerak mengikut giliran negara- negara peserta dan dalam masa yang sama pameran dari negara-negara sekretariat ASEAN sangat lincah dan bertenaga.


Pengerusi AIAE Malaysia Dr. Choong Kam Kow (berbaju putih) menerima tiket tajaan dari pengurus Japan Airline di Kuala Lumpur bersama-sama pelukis-pelukis Malaysia.


Pemerintah ASEAN dan swasta seperti AIAE, Japan Airline, Japan Foundation, Malaysian Airline cukup memberikan kerjasama dalam kesenian semasa itu. Indonesia dengan rasminya menyertai AIAE pada 1990 dan pejabat operasinya di Institut Teknologi Bandung, dikepalai oleh A.D Pirous. Penyertaan pertama Indonesia bermula di AIAE yang ke V di Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur. Majoriti penyertaan adalah seniman yang terdidik dari Institut Teknologi Bandung. Paling menarik adalah tentang keramahan serta budi kebanyakan seniman ketika itu, segalanya amat menyenangkan antara kedua buah negara. Mungkin atas sifat kepimpinan semasa, yang senior itu memberi bimbingan kepada yang muda. Maka tidak hairanlah sehingga hari ini bagi saya Bandung itu adalah ibu kota Indonesia dan hampir saban tahun saya akan berkunjung. Persahabatan itu secara peribadi dianyam halus murni oleh beberapa watak utama dalam tulisan saya ini.


Setelah pameran AIAE di Kuala Lumpur terlaksana A.D Pirous dan Sharifah Fatimah sudah ada perancangan yang hebat untuk seniman kedua negara iaitu dengan Pameran Muhibbah Seni Rupa 91.

Pameran Muhibah Seni Rupa 91 di Bandung.

Pameran catan di pamerkan di Galeri Braga dan seni grafis di Galeri Dacenta. Kali pertama saya ke Bandung kota yang agak dingin cuacanya. Kebanyakan deligasi Malaysia tinggal di rumah seniman di Bandung semasa kami disana. Masih teringat Ismail Latiff dan saya tinggal di rumah Umi Dachlan.


Saya dan Umi Dachlan di rumah beliau 1991

Ini membuatkan kami terasa sangat mesra dan istimewa ketika berada di Bandung. Pertama kali saya bertemu Setiawan Sabana seorang tenaga pengajar dari Institut Teknologi Bandung yang juga berpameran di Dacenta Gallery. Lalu saya bertanya kepada beliau bagaimana saya harus mencari seorang guru yang boleh mengajar saya mokuhanga di Tokyo. Ini adalah kerana Japan Foundation atau Japan Embassy tidak boleh membantu. Jangan bimbang saya ada seorang kenalan di Tokyo bernama Yoshisuke Funasaka dia akan membantu. Saya akan berikan alamatnya kata Setiawan Sabana. Saya ke Jepun untuk berjumpa Yoshisuke Funasaka di Asahi Culture Center, Tokyo pada 1991 dan 1994 geran saya diluluskan oleh Japan Foundation untuk belajar mokuhanga di bawah bimbingan Yoshisuke Funasaka. Tepat sekali itu budi beliau yang saya abadikan dalam hidup dan kerjaya saya. Sekembalinya saya dari Jepun saya hampir saban tahun ke Bandung dan tinggal di rumah Heyi Mamun, di Jalan Martadinata atau Jalan Riau. Setiawan Sabana akan singgah membawa saya ke kampus Institut Teknologi Bandung atau adakalanya kami bersua di Jepun, Korea, Manila, Taiwan atau di Kuala Lumpur juga dimana saja kami berpameran bersama. Setiap kali ke Bandung saya mesti berkunjung ke rumah A.D Pirous, kalau tidak saya rasa seperti berdosa, Heyi Mamun ketawa dan Setiawan Sabana tersenyum.

Bersama A.D Pirous 1991

Tahun 80an dan 90an adalah tahun serantau yang menyemarakan. Aktiviti kesenian ketika ini amat menyegarkan dan ia seperti suntikan tenaga untuk orang muda seperti saya. Saya mengembara seperti orang yang tidak cukup kaki. Pengembaraan ini selalunya ada basis yang kukuh dan setiap tempat yang saya kunjungi ada rujukan dan ilmuwan. Pengembaraan ini biasanya saya lakukan seorang diri. Oleh itu saya selalu menulis surat atau mengirim poskad kepada Pak Pirous bercerita tentang pengembaraan saya. Tidak pernah lupa juga kepada keluarga saya. Terus terang saya katakan bahawa untuk mencari ilmu itu wajib dan setiap yang wajib itu ada teknik serta adapnya. Kita perlu akur supaya kita mendapat keberkatannya.


Juhari Said.

Akal di Ulu,

Oktober 2024.



Esei ini dipetik dari seminar Road to ASEAN Visual Art Appraisal (AVAA) Faculty of Art and Design, Institut Teknologi Bandung, Indonesia.


10 views0 comments

Comments


bottom of page