top of page
akaldiulu

Pameran Edition V – Melihat dengan mata, hati dan budi.

Oleh Juhari Said




Sekiranya anda melawat ke pameran ini, anda perlu bertanya mengapa karya-karya sebegini terpamer di Cetak 17. Maksudnya kesemua karya yang dipamer adalah bercirikan konvensional.


Seni cetak dilahirkan apabila manusia ada rasa ingin berkongsi. Ini merupakan fitrah manusia sejak dulu lagi. Lalu sifat berkongsi itu dilebarkan supaya setiap hasil boleh dinikmati bersama. Ia berkembang di setiap budaya kehidupan, makanan, pakaian serta bahan ilmiah seperti buku, cebisan, skrol, dan sebagainya. Kerana itu kita ada kuih putu tercetak dari acuan kayu yang halus buatannya. Juga cetakan batik yang begitu mempersonakan, apa lagi kain telepok Terengganu yang indah dipakai dihari kebesaran. Diluar daerah kita, pendita Buddha dari Tripitaka tercatat dalam sejarah kerana mencetak skrol dari 130,000 kepingan blok kayu.


Maka bila tiba arus kemodenan, secara tidak disedari karya seni memasuki industri. Ia berupa komoditi baru. Niat berkongsi itu sudah menyimpang. Dari perkongsian kemasyarakatan luhur budi ia menjadi perkongsian komoditi. Ia bukanlah satu dosa, kerana di zaman industri segalanya perlu berubah mengikut permintaan. Oleh yang demikian setiap karya cetakan konvensional perlu ada piawaian atau keseragaman. Standard, kualiti, siri dan edisi atau seumpamanya. Jadi tidak menghairankan kalau semua karya dalam pameran di Cetak 17 berlegar dalam perimeter atau ukur lilit yang sudah ditentukan. Ini tidak bermakna segalanya akan menjadi jumud dan kaku. Terpulang kepada pengamatan kita adakah tajam atau tumpul.





Pameran Edition V dianggotai oleh 6 orang anak muda iaitu Bayu Utomo Radjikin, Faizal Suhif, Samsudin Wahab, Haslin Ismail, Azam Aris dan Fadli Mokhtar. Sebelum meneruskan penulis ingin mengucapkan tahniah bukan sahaja atas pameran tetapi kerana semangat sejati sanggup mengharung cabaran pandemik covid yang lalu. Jelas Cetak 17, telah lulus satu ujian besar.




Karya cetakan Bayu Utomo bersifat ilustratif. Walaupun begitu ia karya yang mencabar kemahiran teknik cetak timbul. Bukan seperti sesetengah medium, jika tersilap boleh saja ditempel. Tetapi untuk cetak timbul kesilapan itu dilarang. Cungkilan yang mahir akan menggabungkan garisan garisan untuk membentuk wajah idaman. Faizal Suhif meneroka warna hitam dalam karya karya beliau. Hitam yang dominan baginya serapat gelap gulita atau kelam dan malap. Warna hitam dengan garisan-garisan minima membentuk rupa organik yang bakal menjelma. Tetapi menatapi karya sebegini, kita terasa dipulas dan membuat kita bertafakur.





Buden bukan sahaja menggemari cerita-cerita rakyat malah kenangan zaman kanak kanak sering menjadi tema dalam karya beliau. Banyak penglipur lara sering gunakan kaedah menakut-nakutkan oleh orang tua-tua bertujuan mengawal anak anak yang nakal. Ini dapat kita lihat dalam karyanya yang bertajuk ‘Rindu Bayangan’ dan juga ‘Pergelutan’. Penuh kelucuan dan sinikal. ”Theory of Fear” ini kalau dikaji amat dipraktikan dalam sosio politik tempatan juga global dan paling lucu sasarannya bukanlah kanak kanak tetapi orang tua dewasa.





Haslin saya kenali semasa beliau menuntut di UITM bersama Buden. Beliau juga tertarik kepada cerita-cerita rakyat. Cuma pengaruh itu mungkin lebih diresap setiap kali dia membuka pintu rumah, Gunung Ledang berada di hadapan walaupun sayup mata memandang. Gunung Ledang khususnya amat dekat dengan jiwa orang Melayu terutama melalui hikayat, mitos dan cerita tentang makhluk ghaib. Haslin banyak dipengaruh oleh buku-buku, filem serta komik. Tidak hairanlah dari zaman kuliah, karya-karyanya banyak berkisar kepada bayang serta khayalan. Paling menarik dalam karya Haslin adalah yang bertajuk ‘Terusan Kabus Ribut’. Sekali lagi beliau menggunakan kemahiran sapuan berus sehingga gurisan asid itu sekali imbas kelihatan seperti sebuah karya lithografi surealisma. Tidak ramai yang sedar bahawa kreativiti itu ada dimana-mana tetapi penghayatan kita harus berlandas ilmu dan pengalaman serta kemahiran. Dalam karya yang bertajuk ‘Kuasa Rasa’ sekali lagi lambang tangan yang menggenggam dalam budaya poster propaganda diolah tersendiri. Kita lihat gelojak tangan itu tapi ia bukan genre poster kebiasaan atau picisan.

























Azam Aris seorang pendiam yang amat meminati muzik sejak remaja. Ini mengingatkan saya kepada Charlie Watts pemain drum dari Kumpulan Rolling Stones yang juga pendiam dan tidak suka dikenali. Dua karya Azam yang bertajuk ‘Jurang Bawah Tanah’ dan ‘Skem’ mengambarkan tangan-tangan yang melonjak gembira atau manusia-manusia yang berada dalam alam fana berpesta. Tetapi ada watak induvidu asing yang memegang pistol. Itu sebagai petanda amaran bahaya! Azam berkemungkinan mengingatkan kita satu pesanan dari orang tua-tua. Pesanan itu berbunyi, Jangan terlalu gembira nanti ada yang menangis. Atau dalam karya ‘skem’ dia berpesan kepada kita pelanduk selalu lupakan jerat tetapi jerat tidak pernah lupakan pelanduk. Paling menarik walaupun beliau sangat meminati muzik ia hanya cerahkan perasaan itu dengan tangan-tangan ghairah seperti dalam sebuah konsert. Tetapi keghairahan dan keseronokan itu didomba dengan pistol sebagai lambang suasana tragedi dan tegang yang bakal menimpa?























Fadli Mokhtar selalu terpesona kepada jalinan permukaan yang diolah seperti susun suai gambar. Karya beliau dalam pameran tersebut seperti sebuah cadangan bagaimana sesuatu itu harus diletak dan dilaksanakan. Secara halus beliau menyarankan segalanya mesti bersistem dan perlu dibuat secara teratur. Mungkin ini pengaruh besar dari latar belakang keluarga dan juga penglibatannya dalam sukan pencak silat. Ini sangat jelas dalam karya beliau yang bertajuk ‘Belenggu Falasi’ dan ‘Dialog Amarah’. Sememangnya kehidupan ini memerlukan peraturan dalam perlaksanaan demi mencapai matlamat yang baik atau yang miring. Cuma yang miring sentiasa diperhatikan oleh risiko, seperti jerat yang tak pernah lupa pelanduk!



Juhari Said

Akal diulu

25 jan.2024.



* Edition V adalah sebuah pameran seni cetak dwi tahunan oleh seniman Studio Chetak 17. Pameran ini berlansung dari 14 Januari hingga 10 Februari 2024 di Studio Chetak 17, Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.


12 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page