oleh Juhari Said
Saya sebenarnya begitu jarang mengunjungi Sarawak, kalau dibandingkan dengan pengalaman mengunjungi tempat-tempat lain di Malaysia. Lawatan saya ke Sarawak selalunya di atas jemputan rasmi. Kali terakhir adalah pada tahun 2008. Ketika itu saya dijemput untuk mengendalikan bengkel seni cetak oleh cikgu Ashari Hamdan, seorang sahabat lama yang mula-mula saya kenali ketika berusia 12 tahun.
Selain dari cikgu Ashari Hamdan dan cikgu Zaidi, dua orang lagi sahabat lama saya di Sarawak adalah saudara Awangko dan Sylvester. Apabila saya berada di Sarawak, biasanya mereka berdua akan datang berjumpa serta membawa saya makan dan bersiar-siar di Pasar Satok. Di Pasar Satok juga saya biasanya akan membeli ikan terubuk masin serta kek lapis Sarawak yang begitu dramatik warnanya. Mereka berdua kini bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Dahulu kami begitu akrab semasa sama-sama belajar di ITM (kini UiTM) pada awal tahun 1980-an. Kalau berkunjung ke Kuala Lumpur, mereka berdua pasti akan mencari peluang bertemu saya. Dari sudut lain kalau diperhatikan, mereka berdua setiasa kelihatan muda.
Mereka berdua juga sering bertanya kepada saya tentang penghantaran pelajar-pelajar masing-masing ke studio saya (Akal di Ulu), bagi menjalani latihan industri. Saya pula selalu menjawab dengan senyuman dan berdiam diri. Memang pernah satu ketika dahulu studio saya sering dikunjungi oleh pelajar-pelajar universiti bagi tujuan latihan industri dan perkara-perkara berkaitan. Saya pula begitu bermurah hati dan berjiwa terbuka pada waktu tersebut. Tetapi pesanan orang tua-tua itu ternyata benar melalui pepatah; buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Kebanyakan pelajar kita sebenarnya masih belum bersedia, kurang sensitif atau belum terdidik kepada kehidupan yang bertanggungjawab dan berhemah.
Masih ramai yang belum mempersiapkan jiwa, kemahiran serta sikap bekerja yang baik. Mungkin pihak-pihak yang berwajib perlu menjadikan buku Learning How To Learn oleh Idries Shah sebagai buku teks untuk pelajar-pelajar kita di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Panas matahari itu kini bukan lagi dilihat atau dialami sebagai sebahagian dari kehidupan, tetapi ia adalah sesuatu yang merimaskan pelajar-pelajar. Dari sebab tersebut, saya mengambil keputusan untuk menutup studio saya dari menerima pelajar-pelajar IPT bagi tujuan latihan industri dan yang berkaitan dengannya.
Di suatu pagi yang berkabus, ketika memberi ikan makan di kolam, saya menerima pangilan dari Awangko Hamdan. Beliau begitu bersungguh-sungguh untuk menghantar pelajar-pelajar UNIMAS ke studio saya untuk menjalani latihan industri. Saya tidak memberi jawapan tetapi meletakkan syarat kepada kawan saya itu. “ Ok!, Saya nak budak yang berasal dari kampung, mahu bekerja, lasak dan serba boleh. Tolong jangan hantar yang putih gebu, kalau mereka tidak boleh bekerja saya akan hantar mereka pulang dengan segera ke UNIMAS! “
“ I tidak akan bagi malu UNIMAS, I will send the best student. “
itu janji Awangko kepada saya.
Juhari Said
Akal di Ulu
8 Jun 2011
Comments