top of page

BAREHAND- PENGENALAN

oleh JUHARI SAID



Projek residensi artis luar negara ini bermula di studio Akaldiulu pada tahun 2010. Pada awalnya residensi ini mulai bergerak tampa perancangan yang khusus. Ia  berdasarkan pada persahabatan yang erat dan kefahaman mendalam terhadap keperluan berkarya diantara seniman.

 

Artis luar negara yang pertama datang bekerja di studio saya ialah Anees Maani dari Jordan. Beliau bermukim untuk berkarya selama tiga bulan bersama–sama saya. Residensi ini hanya menumpukan seluruh aktiviti kepada pengkaryaan semata-mata. Disini kami berdua bekerja dan cuba mencari laluan maksimum untuk menghasilkan karya-karya yang baik. Anees menghasilkan arca kayu tetapi saya pula menghasilkan cetakan kayu.Bahan yang kami gunakan sama tetapi teknik serta kaedah kerja kami agak berbeza. Residensi ini berakhir tampa apa-apa pameran untuk kami berdua,tetapi pengalaman dan proses mendalami akan keperluaan-keperluan  bekerja begitu bererti terutama jika seniman itu datang dari latarbelakang yang berbeza.

 

Pada 2013, untuk pertama kalinya saya bertemu Mamoru Abe, artis jemputan  Pameran Kembara Jiwa di Asian Art Museum,Fukuoka. Setelah pulang ke Malaysia saya merancang untuk projek residensi yang kedua di Akaldiulu pada 2015. Tanggungjawab ini berat, tetapi kalau Anees Maani bersama saya tentu projek ini menjadi ringan. Saya menjemput Anees Maani untuk kali kedua bekerja di studio saya bersama Mamoru Abe. Saya percaya bahawa mereka akan bersepakat memelihara serta menjaga projek residensi ini dengan baik sekali. Semoga residensi ini terus hidup dan memberi maanfaat. Itu paling penting! Residensi ini berlangsung selama satu bulan dan di akhir projek mereka berdua mengadakan pameran solo di Publika, Kuala Lumpur.

 

Pada April 2015, kami bertiga merancang untuk residensi seterusnya ke studio Anees di Amman Jordan. Samer Tabaa, Anees Maani dan saya bekerja disana selama dua minggu.Studio Anees terletak  di kawasan perindustrian batu. Mamoru Abe pula tidak dapat hadir atas sebab-sebab keselamatan walaupun beliau sudah siap sedia untuk bertolak  ke Amman pada keesukan harinya.

 

Sekembalinya dari Jordan saya terus menelefon sahabat saya Setiawan Sabana di Bandung dan memaklumkan tentang projek residensi ini. Beliau bersetuju bahawa residensi seterusnya akan diadakan di Bandung pada November 2015. Di Bandung kami mendapat kerjasama dari Institut Teknologi Bandung. Kali ini peserta bertambah kepada 19 orang karyawan. Artis yang terlibat adalah dari Filipina,Jepun, Jordan, Malaysia dan tuan rumah Indonesia. Di Bandung kami mempersetujui bahawa projek ini dinamai sebagai BAREHANDS- ASIAN ARTISTS RESIDENCY PROJECT. Kami akhiri projek ini dengan pameran berkumpulan di Gedung Yayasan Pusat Kebudayaan, Jalan Naripan, Bandung pada 15 – 20 November 2015.

 

Sejak dari awal lagi, projek ini mempertanggungjawabkan peserta dari setiap negara untuk menjadi tuan rumah  disetiap pusingan residensi. Semua peserta perlu bekerja untuk menyumbang dan memainkan peranan dengan harapan supaya projek residensi ini akan terus hidup. Mendidik seniman menjadi manusia yang sentiasa bekerjasama demi kebaikan disamping mengenegahkan idea serta kepakaran.Jambatan kukuh harus dibina untuk laluan idealisma baik yang sejagat. Sebelum pulang ke Fukuoka, Mamoru Abe berjanji dengan mulut dan hatinya untuk mengadakan residensi seterusnya di Fukuoka pada penghujung April 2016. Ya! BAREHANDS semakin tegang, rancak dan panjang kaki!

 

Di Fukuoka, peserta bertambah 21 orang. Residensi ini mendapat sokongan dari Fukuoka Education University dimana mereka menyediakan studio untuk bekerja. Selama seminggu semua peserta tinggal di Munakata, pekan yang dikelilingi oleh aktiviti pertanian. Untuk dua hari peserta melawat ke Pulau Oshima mencari bahan-bahan karya yang hanyut dibawa oleh arus lautan Genkai yang menghubungkan sebahagian tanah Asia. Di pulau tersebut saya melihat beberapa orang penduduk tempatan ketawa kehairanan melihat kami mengutip objek-objek yang terdampar disepanjang pantai.Bagi mereka ia munkin melucukan. Tetapi itulah cara seniman bekerja dan seterusnya melahirkan karya-karya mereka.

 


Juhari Said

4 Mei 2016, Tenjin, Fukuoka.

 

(Dipetik dari katalog Barehands,Asian Artist Residency Project,29 April-10 May 2016,Fukuoka Japan)

 

2 views0 comments

Recent Posts

See All

Comentários


bottom of page