Pameran Edisi VII 2026 – Cetak 17
- Fadli Mokh
- 2 days ago
- 5 min read
oleh Juhari Said

Buat masa ini mengadakan pameran berkumpulan atau perseorangan berkemungkinan akan disalah tafsir. Barangkali ia akan dianggap sebagai kegiatan komersial sahaja. Tetapi bagi pengkarya tegar dan konsisten ia merupakan sebuah latihan uji daya tahan, medan disiplin yang akan membina kewibawaan untuk jadi seorang seniman.
Pameran Edisi VII 2026 di Cetak 17 adalah pameran terbaru dari ahli tetap studio tersebut. Mereka terdiri daripada Bayu Utomo Radjikin, Faizal Suhif, Azam Aris, Haslin Ismail, Fadhli Ariffin serta Fadli Mokhtar. Ahli baru pula adalah Luqman Yusri dan Iwadh Mahadi yang telah dipilih serap dari pameran New Edition 2023. Cuma kali ini Samsudin Wahab tidak dapat ikut serta atas sebab kesihatan yang amat tidak mengizinkan. Perlu dimaklumkan bahawa pameran ini berlandaskan cetakan konvensional dimana setiap karya mesti mempunyai edisi. Ini cabaran yang membelenggu tetapi menguji kecekalan apabila berada dalam proses pengkaryaan.
Bayu Utomo merupakan yang paling senior dalam kumpulan ini. Beliau mula membuat cetakan gurisan asid pada 2005 di AP Gallery, Melawati. Rahime Harun sebagai pemilik amat aktif menerbitkan cetakan pelbagai teknik dan keperluan komersial lainnya. Seperti yang diduga beliau memperagakan kemahiran cetakan timbul figuratif yang lazimnya hitam putih dan nampak begitu dramatik.

1. Bayu Utomo Radjikin I Tengadah I Gurisan Asid I 17cm x 20.5cm I 2005
2. Bayu Utomo Radjikin I Harapan I Potongan Lino I 44cm x 30cm I 2026
Faizal Suhif mendakap alam sebagai sumber sejak dulu lagi dan perpisahan itu mustahil kerana alam itu kehidupannya. Untuk menghayati karya beliau kita harus teliti dan bermata tajam kerana kedapatan banyak yang tersembunyi dan misteri. Karya bertajuk ‘Disebalik batu’ jelas akan ciri ciri tersebut walaupun ia merupakan karya aluminografi pertama yang dibuat bersama Fadli Mokhtar di Institut Teknologi Bandung semasa menyertai Barehands Residency 2025.

1. Faisal Suhif | Disebalik Batu | Aluminografi | 39.5cm x 50.5cm | 2026
2. Faisal Suhif | Tumbuh dalam Ingatan | Gurisan Plastik Akrilik | 28.5cm x 61cm | 2026
Azam Aris kali ini mempamerkan tiga karya yang berlainan teknik. Gurisan di atas bahan terbuang ‘Tetra Pak’, gurisan asid dan akuatin, juga gurisan diatas plastik akrilik. Dia gemar merakam situasi sengit dan genting. Cuma kali ini kita dapat melihat bulan mengambang penuh dalam dua buah karya beliau. Mungkin Azam mahu bertafakur merenung keindahan cahaya purnama seketika.

1. Azam Aris | Inspection | Tetrapak | 50cm x 30cm | 2026
2. Azam Aris | Is There a Future for Our Past! | Gurisan Asid dan Akuatin | 40cm x 29cm | 2026
3. Azam Aris | Semilir | Gurisan | 45cm x 30cm | 2026
Haslin Ismail yang saya kenali amat lincah berimaginasi. Beliau mengingatkan saya kepada Georgio de Chirico (1888-1978) seorang penulis dan pelukis surrealist yang saya minati sehingga sekarang. Figura tanpa paras rupa berlatarkan bangunan meninggi dihidupkan oleh figura dan peralatan dapur yang organik meliuk lentuk. Tangan yang posisinya seperti meraba raba mengajar kita selain dari mata anggota tangan sememangnya boleh dilatih untuk melihat. Dalam karya Rising Battle Ground ia merupakan koloborasi bersama Samsudin Wahab terutama lakaran asal cetakan tersebut. Ini cara mereka merakam keakraban persahabatan.

1. Haslin Ismail | Apabila Tangan Belajar Melihat | Gurisan | 61 x 46cm | 2026
2. Haslin Ismail | Rising Battle Ground | Gurisan | 61cm x 46cm | 2026
Fadhli Ariffin sekarang berkarya di Batu Gajah, Perak. Sejak dulu beliau menjadikan gelombang atau laut terbuka sebagai manifestasi diri. Cuma kali ini lautan tersebut begitu tenang.Gelombang laut yang diukir pun begitu rapi dan teratur mengingatkan saya pada Hokusai, seorang seniman ‘Ukiyo-e’, (imej dunia terapung) yang terkenal itu. Mungkin suatu hari gelombang itu akan berwarna warni. Bukankah itu gelombang hati kerana bayang raksasa itu pun tidak kelihatan?

1. Fadhli Ariffin | Untitled | Potongan Lino | 57cm X 41cm | 2026
2. Fadhli Ariffin | Raksasa | Potongan Lino | 59.5cm X 44cm | 2026
Fadli Mokhtar masih meneroka teknik kolografi seperti susun suai gambar. Dalam tajuk karya beliau diselitkan beberapa saranan yang lirikal untuk kita fikirkan bersama. Karya hitam putih yang bertajuk Sayembara Hidup agak menarik. Objek meditatif hitam putih seperti piala seolah olah menjulang untuk dicapai. Lalu pernahkah kita bertanya adakah kehidupan ini sebuah perlumbaan atau sebuah pencarian makna yang hakiki.

1. Fadli Mokhtar | Perancangan Agung | Kolografi | 69 x 47cm | 2026
2. Fadli Mokhtar | Sayembara Hidup | Aluminografi | 34cm x 43cm | 2026
Luqman Yusry pula mempamerkan karya potongan lino yang berwarna-warni. Bercerita tentang unggas yang sering ditemuinya di kebun. Cetakan ini dilapisi oleh 15 warna dan menurut beliau dari sepuluh edisi yang dihasilkan hanya empat saja yang menepati piwaian lulus. Itu cabaran membuat teknik ini dan ia merupakan hasil pengalaman mengikuti Barehands Residency 2025.

1. Luqman Yusry | Gurindam Glami Lemi | Potongan Lino | 44.5cm x 59.5cm | 2026
2. Iwadh Mahadi | Si Fulan | Gurisan Plastik Akrilik | 59.4cm x 42cm| 2026



Comments