top of page
akaldiulu

CANTING ISMAIL MAT HUSSIN

oleh JUHARI SAID



Terus terang saya katakan, saya benar-benar tidak tahu-menahu tentang pelukis batik Ismail Mat Hussin. Kalau sebut nama pelukis batik Chuah Thean Teng, Khalil Ibrahim atau Fatimah Chik, saya bolehlah angguk kepala. Malah, jika disebut Tan Rahim Zahichi pun saya masih kenal—saya temui pelukis batik ini ketika berusia 15 tahun di Jalan Melayu, Kuala Lumpur 35 tahun yang lalu. Hakikatnya, penulisan sejarah seni di negara kita telah berkembang dengan tidak seimbang dan juga tidak dilakukan dengan cara sepenuhnya bertanggungjawab. Kesannya amat dirasai bila kita cuba merujuk maklumat dari sumber-sumber tertentu. Pelukis-pelukis yang kurang moden atau tidak cenderung ke Barat amat kurang dapat liputan dan pendedahan. Lebih lagi jika pelukis tersebut tergolong dalam kelompok ‘self-taught artist.’


Persahabatan saya dengan En. Kwan, seorang kakitangan bersara Universiti Malaya, telah membuka pintu perkenalan dengan pelukis batik Ismail Mat Hussin. Kali pertama saya bertemu dengan pelukis dari Kelantan ini ialah di Muzium Seni Asia, Universiti Malaya (UM). Waktu itu beliau datang ke UM untuk menghantar dua keping lukisan batik yang ditempah sebagai koleksi tetap Galeri Seni UM. Apabila tersergam di depan saya dua lukisan yang bertajuk ‘Penjualan Durian’ dan ‘Membaiki Jaring’- saya terus terpesona. Peribadi pelukis juga begitu menyenangkan dan merendah diri. Pada saya, karya itu adalah Ismail Mat Hussin dan Ismail Mat Hussin sendiri adalah lukisan itu—kedua-duanya akrab dan sebati.

Lukisan batik kerap dianggap rendah tarafnya, hanya sebagai hasil tekstil dan pakaian semata-mata. Namun, sama seperti karya cetakan kayu Ukiyoe Jepun yang terkenal, asal-usulnya adalah pada kertas-kertas bungkusan, lebaran-lebaran promosi teater kabuki serta ilustrasi-ilustrasi buku pertengahan abad ke-17. Begitu juga jika dilihat pada titik mulanya sejarah seni catan di Eropah; pada asalnya ia berfungsi hanya sebagai bahan pengantara gereja dan penganut-penganut Kristian yang masih lagi buta huruf waktu itu. Lantaran, disebabkan ajaran dan kisah dari kitab injil perlu disebarkan kepada rakyat, maka pelukis-pelukis telah diupah oleh raja, bangsawan serta pihak gereja untuk menghasilkan catan. Semua kesenian yang ada sekarang bermula dari sesuatu yang ‘kerendahan’ dan keperluan praktikal. Dari situ ia berkembang, dihayati, dihormati, dipelihara dan diangkat menjadi seni halus oleh bangsanya sebagai khazanah negara. Kadang-kadang ia menjadi kegilaan kepada para pengumpul seni sehingga karya itu menjadi harta yang begitu tinggi nilainya bila ditafsir dari segi wang.


Batik juga bermula dari seni yang penuh kerendahan praktikal ini. Pada awalnya, batik hanyalah kain basahan yang dipakai seharian oleh masyarakat tempatan. Kemudian batik dihasilkan pula pada tekstil yang bermutu tinggi, menjadi pakaian khas yang dipakai oleh orang di acara sambutan. Maka sudah tentulah rekaan pada kain itu semakin halus, lebih istimewa dan hebat. Dalam karya batik Ismail Mat Hussin pula kehalusan seninya dibuat bukan bertujuan untuk dipakai pada tubuh tetapi demi mata dan penghayatan seni itu sendiri.


Dalam perkembangan kesenian di Tanah Melayu sebelum merdeka, seni rupa moden bergiat cergas di Pulau Pinang. Peranan penjajah Inggeris tidak dapat dinafikan sedikit sebanyak membantu senilukis berkembang waktu itu. Angin seni lukis kemudiannya mula beralih ke Kuala Lumpur apabila bandar ini dijadikan sebagai pusat pentadiran negara. Negeri-negeri Pantai Timur, khasnya Kelantan, agak ketinggalan dari arus seni rupa moden jika dibandingkan dengan Pulau Pinang dan Kuala Lumpur ketika itu.


Namun, Kelantan sebagai sebuah negeri yang kaya seni budayanya menjadikan seni tradisi sebagai pasak dataran keseniannya yang tersendiri. Maka jika diteliti pada seniman Pantai Timur seperti Ismail Mat Hussin, kita akan dapati inilah anasir-anasir yang sama dijadikan bekalan dan rujukan oleh mereka.


Bakat kesenian Ismail Mat Hussin mula berkembang ketika beliau berusia 16 tahun. Beliau diasuh oleh Cikgu Nik Mahmood di Sekolah Melayu Padang Garong, Kelantan. Lima tahun kemudian beliau mula aktif berkarya serta mengadakan pameran sekitar Kota Bahru seperti di Scouts Hall dan juga di tempat-tempat lain di Kelantan. Pada 1968, beliau mengambil keputusan untuk melibatkan diri sepenuhnya dalam dunia seni lukis. Dia menyertai Angkatan Pelukis Semenanjung (APS) cawangan Kelantan dan berjaya mengadakan pameran di Scouts Hall, Kota Bahru dalam tahun yang sama.


Pada 1969, beliau mengorak langkah lebih jauh dari kampung halamannya untuk berpameran. Kali ini dia menyertai Pertandingan Salon Malaysia di Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur. Penyertaan Ismail Mat Hussin berupa sebuah karya cat minyak, tetapi nasib tidak menyebelahinya dalam pertandingan itu. Namun, kegiatan-kegiatan seni rupa moden di ibu kota sedikit sebanyak memanaskan lagi semangatnya. Beliau dapat bertemu lebih ramai pelukis-pelukis, terutama sahabat karibnya Khalil Ibrahim, yang mana persahabatan mereka sudah terjalin sebelum Khalil Ibrahim berangkat ke London untuk belajar di St. Martin.


Suasana di Kuala Lumpur sudah tentu sedikit sebanyak mempengaruhi serta mencuri deria keseniannya. Namun, ternyata tanggam budaya pantai timur itu sentiasa memelihara rasa dan peribadinya yang terbukti kekal hingga hari ini. Salon Malaysia merupakan sebuah pertandingan dan pameran yang sentiasa dinantikan oleh pelukis-pelukis. Ia bukan sahaja diadakan sepuluh tahun sekali, malahan menawarkan hadiah istimewa serta pengikhtirafan besar kepada pelukis-pelukis Malaysia amnya. Pada Salon Malaysia 1979, Ismail Mat Hussin mencuba nasib untuk kali kedua dengan karya batik yang bertajuk ‘Pemain Mak Yong’ dan ‘Membaiki Pukat’. Ternyata kali kedua ini nasibnya tidak juga begitu baik untuk memenangi anugerah pertandingan yang berprestij itu. Walaupun juri-juri Salon Malaysia tidak memihak kepada karya-karya beliau tetapi sebenarnya gelora Salon Malaysia telah berjaya membuka mata ramai orang di kalangan peminat-peminat seni untuk menghayati karya batik beliau.


Sejak itu karya-karya batik Ismail Mat Hussin semakin dikenali dan dikumpul oleh orang-orang perseorangan dan institusi-institusi negara seperti Balai Seni Visual Negara, Malaysia Airline System, Muzium Negara, Esso Malaysia, Bank Negara, Galeri Petronas dan lain-lain lagi.


Ada beberapa persoalan menarik yang saya lalui dalam pemerhatian kerjaya seni Ismail Mat Hussin. Mengapakah seorang pelukis ‘self taught’ yang tinggal jauh dari pusat seni rupa moden Kuala Lumpur ini begitu nekad untuk berkarya? Dia berkarya tanpa henti seolah-olah membujur itu lalu, melintang itu patah. Kalau diamati sejarah perjalanan pengkaryaan beliau, keseniannya juga jelas semakin lama semakin naik (walaupun karya beliau diperendah dalam Salon Malaysia 1969 dan 1979!). Semangat nekad dalam diri Ismail Mat Hussin itu adalah akrab kepada kejujuran dirinya. Kesenian yang halus dan memuncak bermula dari dalam diri seniman. Ia bukannya datang dari luar. Sememangnya, Ismail Mat Hussin adalah seniman yang sudah lama berkarya dari kemuncak sanubari yang sejati.


Ini begitu jelas dapat dilihat dalam siri-siri karya beliau. Kenyataan realisme tentang kehidupan masa lampau, pengalaman harian dan persekitaran begitu berjaya dirakamkan. Ia seolah-olah melayari imaginasi kita ke sebuah daerah ‘TENANG’ yang sering kita buru dan mimpikan. Bukankah itu yang kita cari selama ini, walaupun masing-masing kita punyai perjalanan yang berbeda.


Warna-warna tanah serta kilauan kuning dan putih merupakan warna kegemaran dalam karya-karya beliau. Ia merupakan pancaran warna-warna penuh tawaduk atau rendah diri; ianya warna-warna stabil, peramah dan mudah didekati. Ismail Mat Hussin sebenarnya bukan membuat batik, tetapi melukis ‘RASA’ diri.



Juhari Said

Universiti Malaya

Oktober 2012


(Dipetik dari katalog Canting Ismail Mat Hussin, Pameran Solo Ismail Mat Hussin, Galeri Seni Universiti Malaya; 11 – 30 Jun 2012)

0 views0 comments

Recent Posts

See All

Jambatan

コメント


bottom of page