top of page
akaldiulu

GARIS YANG BERTEMU

oleh JUHARI SAID



1991 itu tahun gelisah. Bagaimana harus mencari seorang guru yang akan mengajar saya seni grafis tradisional Jepun. Tiada siapa yang dapat membantu ketika itu. Fikiran saya mundar mandir seperti orang menunggu bas yang tak kunjung tiba.Pada tahun yang sama saya menyertai Pameran Muhibah 12 orang pelukis Malaysia ke Bandung. Itulah kali pertama saya berkunjung ke kota Ajip Rosidi, seniman Sunda yang begitu dikenali di Indonesia.

 

Di pameran ini saya bertemu ramai seniman terutamanya yang dididik di Institut Teknologi Bandung. Di Dacenta Gallery saya bertemu dengan seorang pegrafis yang pendiam, berkulit cerah seperti kebanyakan warna kulit orang Sunda, namanya Setiawan Sabana. Saya orang yang resah hanya mahu mencari ketenangan, guru sejati ahli memahami dan sentiasa bersedia. Anda harus menulis surat kepada Yoshisuke Funasaka di Tokyo. Dia bisa membantu, katanya kepada saya. Tahun berikutnya saya ke Bandung lagi untuk berpameran dan saya semakin selesa di sana. Awal 1994 saya berangkat ke Tokyo untuk belajar seni grafis tradisional Jepun. Begitu detik awal persahabatan saya bersama Setiawan Sabana yang membekas hingga sekarang. Setelah itu saya sering kali betemu beliau bukan saja di Bandung, malahan di luar negara dimana kami bersama sama berpameran.

 

Pertemuan kami sering menyingkap perbincangan budaya seni grafis. Namun pencarian intipati seni grafis lokal Nusantara tetap diteruskan. Istilah mencari itu membawa pengertian selidik yang bersungguh sungguh dengan ilmu, itu cara Setiawan Sabana. Bagi seorang pegrafis, kertas itu amat sukar jika dipisahkan dengan dirinya. Ia seperti memasak, tampa periuk atau kuali, segalanya menjadi sukar. Mungkin boleh saja jika dipanggang? Saya perhatikan beliau ‘mencari kertas’ dengan seluruh jiwa raga. Penyelidikan beliau membongkar jasad dan roh kertas itu tampa batas dan jauh di luar imaginasi. Kertas yang hanya sebagai alas, dibedah hingga tak terlintas punya sejarah dan peranan panjang dalam peradapan manusia. Kertas baginya punya seribu tanggapan dan pengertian. Ramalan beliau tentang kertas  mungkin juga akan jadi kenyataan. Apakah secara peribadi beliau punya ikatan yang terlalu akrab dengan kertas kerana dia generasi yang lahir sebelum wujudnya teknologi digital?

 

Juga saya melihat beliau begitu mandam akan garis lengkung dan menjurus kepada bulatan. Tidak  berlebihan,memang itu refleksi peribadi Setiawan Sabana yang kita kenali. Bulat air kerana pembetung,bulat manusia kerana muafakat.Cabaran seniman yang paling sukar sudah dilewati, menterjemah diri dalam kehidupan. Beliau menguris jiwa dan menjana fikiran dalam berkarya. Segala yang tiba itu dari tekad dalaman yang membulati dan padu. Begitu peribadi seorang guru juga seorang seniman!

 


Juhari Said

Akaldiulu

2017

 

Esei ditulis untuk pameran solo Setiawan Sabana di Galeri Tapak,Shah Alam, 13 Mei 2017.

 

1 view0 comments

Recent Posts

See All

Jambatan

Commentaires


bottom of page