top of page

HITAM, PUTIH DAN YANG JERNIH

oleh JUHARI SAID



Ini merupakan pameran solo Mamoru Abe yang kedua di Kuala Lumpur. Pertama di Galeri Chandan, Publika pada 2014. Pameran kedua ini istimewa kerana ia terlaksana dalam sebuah program khusus yang dipanggil Asian Master. Sebuah siri pameran solo untuk seniman dari negara Asian di Muzium Seni Asia, Universiti Malaya. Pameran ini juga diadakan selari dengan projek Barehands, Asian Artist Residency, Kuala Lumpur Vol I yang diadakan di Balai Seni Negara,Kuala Lumpur.

 

2014 merupakan kunjungan pertama beliau ke daerah Nusantara. Setibanya di studio saya beliau memberitahu bahawa dia mahu meneroka iklim dan suasana Khatulistiwa. Udara lembab yang disulami panas serta hujan yang mencurah-curah. Saya suka cabaran yang menguji diri dan kepakaran kita, katanya kepada saya.Seniman sepatutnya begitu, menelusi sempadan baru untuk mencari diri!Bukankah kegagahan sebuah kehidupan diukur begitu?

 

Saya perhatikan beliau begitu menghayati  iklim serta cuaca sejak berada di Malaysia. Sudah pasti seperti kebiasaannya, permulaan itu sukar tetapi sesudah kepayahan akan datang pula kesenangan kerana langkah pertama beliau ke mari begitu jelas dan terang!Menerobos dan berlumba dengan diri sendiri kerana itu adalah cermin kematangan seorang seniman. Awal pengkaryaan beliau meneliti makna dan pengertian objek tadahan. Piring lengkung yang menakung air begitu banyak digunakan dalam pameran Occurance 2014. Sekali imbas ia cuma bekas lengkung yang menadah air, tetapi sebenarnya ia sebuah penceritaan dan sebuah gambar tentang iklim dan cuaca yang berhujan serta lembab. Bagi saya ini merupakan satu penelitian tajam dan pintar oleh Mamoru Abe dalam berkarya. Cuma bezanya objek piring lengkung di pameran Servey Map tidak berisi air! Mungkin gambaran tentang cuaca baginya sudah semakin ringkas,jelas dan tepat walaupun tampa air. Ia mengingatkan kembara saya di Wadi Rum, Jordan bersama Anees Maani dimana kami diselebungi cuaca panas lagi kering. Jika beliau berada disana bersama kami mungkin Mamoru Abe tidak akan terlintas langsung tentang objek piring lengkung?

 

Penerokaan bahan seperti pewter yang digunakan sebagai objek tadahan juga menarik. Pewter merupakan bahan utama dari timah adalah hasil bumi daerah ini. Pertama kali beliau berkarya dengan bahan tersebut, katanya ia begitu mencabar!Cabaran itu datang bukan dari jeritan hulubalang yang terhunus senjata tetapi hanyalah dari satu bahan yang tidak bernyawa. Seniman bisa begitu. Bertarung dengan objek kaku yang ingin dihidupkan!Ini bukan satu keanehan kerana tidak semua manusia boleh melihat kehidupan pada objek kaku dan mati! Juga tidak semua diantara kita dapat melihat “wajah” tuhan ketika angin sedang meniup pohon rendang dengan daun kering berterbangan? Begitu juga bilah batang besi yang di gunakan oleh beliau dalam pameran Servey Map, panasnya api adalah seperti hembusan nafas yang mampu menjadikan besi itu lembut.  Api bagi Mamoru Abe adalah bagai tiupan roh untuk objek kaku dan mati seperti besi? Kerana itu sepanjang pengkaryaannya beliau tidak pernah lekang atau jauh dari api! Api begitu panas tetapi ia  menyemarak dan menghidupkan proses pengkaryaan beliau. Api itu tenaga alami bagi dia dan seluruh manusia.

 

Menggunakan garam sebagai bahan untuk berkarya bukanlah baru baginya. Pernah di Taipei dan juga London. Kali ini di Kuala Lumpur. Garam yang dikenali sebagai bahan perisa makanan merupakan pengawet efektif dalam setiap budaya manusia. Ia juga mengandungi sodium chloride yang membantu penghantaran signal kepada saraf manusia bila dimakan. Di zaman Rom garam adalah sebagai upah atau gaji. Dalam spiritual dan sosial masyarakat Barat pula garam adalah simbol keseimbangan yang mendorong kepada tenaga positif dan suci. Pengubatan dalam masyarakat Melayu  pula sering menggunakan garam terutama yang berkaitan dengan unsur mahkluk halus yang negatif. Garam adalah bahan sejagat yang merantai setiap budaya kearah kesucian yang abadi.

 

Bagi seniman Mamoru Abe yang dilahir dan dibesarkan di Jepun,sudah pasti garam adalah manifestasi budaya dan jati diri.Perhatikan rentak mula gusti Sumo, pasti ditabur gelanggang dengan garam. Begitu juga dalam upacara perkahwinan,garam amatlah penting. Apa lagi dalam memulakan sebuah keluarga!Setiap ibu yang melahirkan anak pasti melalui mandian garam. Taburan garam dalam rumah atau kamar akan mensucikan ruang dan menarik tenaga bantu yang baik. Dalam upacara ritual Shinto garam begitu penting terutama dalam upacara yang di panggil ‘Kami’. Dalam Shinto terdapat tiga unsur utama dalam penyucian diri iaitu api,air dan garam.

 

Oleh itu yang paling menarik untuk diperhatikan dalam karya beliau adalah kayu rentung yang hitam dan besi tempa yang berubah bentuk juga garam putih yang ditabur dalam linkungan karya beliau.Bersama piring lengkung yang berupaya menakung air.Perhatikanlah sebenarnya Mamoru Abe bertafakur dalam karya beliau.Karyanya adalah  sebuah meditasi ,ritual peribadi yang dilafazkan dalam bentuk arca. Karya-karya beliau melepasi  sempadan ‘rupa’ asal sebuah budaya tapi ia penuh  sarat dengan semangat,jiwa dan jati diri kelahirannya.

 


Juhari Said

Akaldiulu

Jun 2017

 

(Dipetik dari katalog pameran solo Mamoru Abe, Surveyed Map, Asian Master Series 2017, Muzium Seni Asia, Universiti Malaya,Kuala Lumpur.)

5 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page