top of page

JAMBATAN A.D.PIROUS

oleh JUHARI SAID



Ketika berusia 37 tahun, A.D Pirous (Abdul Djalil Pirous) berkembara ilmu ke sebuah kota besar, iaitu New York kira-kira sekitar 1969. Disana beliau belajar senireka grafik dan seni cetakan di Rochester Institute of Technology. Bagi seorang karyawan muda, pengembaraan itu bisa merubah. Apa lagi kalau seusia itu, panas api adakalanya terasa dingin dan hujan lebat itu umpama siraman mandian dimusim panas. Salji dingin hanyalah seperti mainan baru! Lebih-lebih lagi di dekad 60an dan awal 70an, terutama pula di New York dan Eropah gelora kehidupan melimpah ruah. Di dekad ini jiwa muda begitu mudah diruntun gelojak budaya alternatif. Gerakan pelajar begitu proaktif. Syahwat dan emosi yang tenang tiba-tiba terasa mahu digaru. Fakulti manusia paling tinggi dan mulia sering menanyai dalam monolog yang berpanjangan seakan tiada hentinya. Justeru segalanya dibiarkan saja ketika itu. Khalayak menyaksikan, adakalanya disanjung, dituruti atau dibiarkan sendirian menentukan nasib sendiri.


A.D. Pirous mengembara dan berkarya dengan didikan serta asuhan rumah bonda yang membentuk tulang diri. Beliau berhadapan dengan gelora idealisma manusia yang mustahil boleh dibendung, ia seperti banjir besar! Tidak lama kemudian pada 1970, beliau bertemu dengan seorang karyawan muda dari Malaysia yang sedang belajar di Pratt Printmaking Studio dengan gran bantuan yang sama diperolehinya iaitu dari J.D Rockefeller. Karyawan muda itu bernama Latiff Mohidin. Sejak itu mereka sering bertemu, melawat studio-studio pelukis dan galeri-galeri sekitar New York. Setelah tamat kembara ilmu di New York, Latiff berkunjung ke Bandung pada 1973 untuk bertemu sahabatnya. Kemudian dia terus menghilang diri.


Sudah sekian lama, pada 2007, Latiff ke Bandung melawat A.D. Pirous dengan hadiah dua buah buku iaitu Voyage dan puisi-puisi Rumi Rubaiyat Khayyam. Semasa dijemput memberi syarahan di Universiti Sains Pulau Pinang pada 2008, beliau cuma berkesempatan menelefon Latiff, seorang karyawan unggul dari Malaysia yang mula-mula dikenalinya 38 tahun yang lalu.


Pada tahun 1981, pameran The First Asian Arts Exhibition telah diadakan di Manama Bahrin. Indonesia diwakili oleh karyawan Srihadi dan A.D. Pirous yang terdidik di Institut Teknologi Bandung. Manakala H. Widayat pula dari Jogjakarta. Malaysia diwakili oleh Syed Ahmad Jamal, Ahmad Khalid Yusoff dan Ibrahim Hussein. Kesemua karyawan ini bukan sahaja mendapat didikan awal di negara sendiri tetapi di Eropah, Amerika dan Jepun. Mereka bukan sahaja karyawan yang disegani, tetapi berjasa dan banyak menyumbang untuk kesenian negara masing-masing sejak tahun 60an. Kalau diteliti kebanyakannya bukan sahaja kreatif berkarya tetapi bijak mengurus diri dan sering berusaha mengembangkan kesenian dirantau ini.


Pada tahun 1983, Sharifah Fatimah Zubir sebagai kurator Balai Seni Lukis Negara ketika itu telah berkunjung ke Bandung untuk bertemu A.D. Pirous, bertujuan untuk menjemput beberapa orang karyawan Indonesia menyertai pameran Lukisan Seni Khat dan Tamadun Islam di Kuala Lumpur. Dalam masa yang sama kegiatan pameran The Asean Exhibition of Painting, Graphic Arts and Photography bergerak keseluruh kota-kota Asean seperti Jakarta, Kuala Lumpur, Manila, Bandar Seri Bengawan dan Singapura. Maka ini memeriahkan lagi persahabatan karyawan-karyawan Asean, khususnya Malaysia dan Indonesia. Nama-nama pelukis dan karya-karya kait mengait dan membina rangkaian kerjasama yang semakin sihat dan bermanfaat. Semenjak itu, Sharifah Fatimah Zubir sering berkunjung ke Bandung melawat karyawan-karyawan disana, terutama pelukis-pelukis wanita seperti Umi Dachlan, Erna Pirous, Heyi Mamun dan ramai lagi.


Di penghujung tahun 80an, Khoo Sui Ho seorang pelukis Malaysia yang bermastautin di Amerika telah dijemput oleh Alliance Francaise Bandung untuk mengadakan pameran solo disana. Dalam upacara itu Khoo Sui Ho yang terkenal dengan karya-karya puitis dan lirikal telah menjemput A.D. Pirous untuk membuka pamerannya. Inilah hasil perkenalan mereka ketika bertemu di Melaka sebelumnya.


Saya sebagai pelukis muda ketika itu baru sahaja menamatkan pengajian saya di Institut Teknologi Mara. Segala-galanya masih kabur, cuma yang ada hanyalah tenaga muda. Saya bertemu pertama kali dengan A.D. Pirous pada 1990 ketika Malaysia menjadi tuan rumah Pameran 5th Asian International Art Exhibition di Balai Seni Lukis Negara. Saya perhatikan bahawa beliau seorang yang bertubuh kecil, berkulit gelap, bermata bulat tajam, bermisai dan berjanggut sangat rapi. Dia berperibadi tegas serta liat tetapi beliau orang yang suka meraikan pelukis muda, tidak kira jurusan apa keseniannya.


Baru-baru ini ketika saya bersama-sama Encik Aziz Rashid berkunjung kerumahnya dia berkata, ‘Juhari, kamu sudah gemuk, sekarang’. Mungkin beliau terbayang wajah saya ketika mula bertemu 24 tahun yang lalu. Beliau memberitahu saya bahawa dia mahu meraikan harijadinya yang ke 83 di Kuala Lumpur semasa pameran solonya di Universiti Malaya. “ Juhari, I want you to write for my exhibition”, katanya sambil mata dan jarinya tepat kearah saya malam itu. Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, saya bertemu Heyi dan Mamun, lalu memberitahu bahawa Pak Pirous mahu saya menulis untuk pamerannya di Universiti Malaya. Bagaimana? Mereka bertanya. Kalau Bapak Pirous, mana bisa saya larikan diri! Kami semua ketawa, dan van terus membawa kami menuju ke tapak studio baru Heyi di Lembang kira-kira 17 kilometer dari Bandung.


Di awal 90an merupakan tahun yang begitu banyak mencatitkan sejarah kerjasama antara pelukis Malaysia dan Indonesia. Apabila A.D. Pirous dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Festival Istiqlal di Jakarta pada 1991 dan 1995 beliau mahu penyertaan yang pasti dari karyawan-karyawan Malaysia. Beliau terus meminta bantuan dari Sharifah Fatimah Zubir yang telah pun menamatkan kerjaya kuratornya di Balai Seni Lukis Negara pada penghujung 1989. Selepas Festival Istiqlal 1991, atas inisiatif Sharifah Fatimah Zubir dan A.D. Pirous, satu pameran yang merangkumi pelukis Malaysia dan Indonesia telah diadakan di Braga Gallery dan Decenta Gallery di Bandung. Pameran ini bertajuk pameran Muhibbah Senirupa. Saya berkunjung buat pertama kalinya ke Bandung bersama Sharifah Fatimah Zubir serta Khalil Ibrahim, Ismail Latiff, Long Thien Shih, Joseph Tan dan lain-lainnya. Di Bandung semua pelukis Malaysia menginap di rumah pelukis-pelukis Indonesia. Ini merupakan satu pengalaman yang cukup menarik bagi pelukis muda seperti saya ketika itu. Ismail Latiff dan saya tinggal di rumah Umi Dachlan. Kami diberitahu bahawa semua itu adalah arahan dan rancangan dari A.D.Pirous atau gelaran akrab kami kepadanya ‘Kepala Suku’. Memang selepas pameran itu saya dapat merasakan keakraban antara pelukis-pelukis Bandung dan Kuala Lumpur.


Pada 1992, Bandung menjadi destinasi Pameran Asian International Art Exhibition yang ke 7. Ia berlangsung di Gedung Merdeka dengan disertai oleh lapan buah negara. A.D. Pirous mengepalai pameran ini dan saya bersama-sama Choong Kam Kow serta delegasi dari Malaysia berangkat ke Bandung sekali lagi. Tahun berikutnya saya menyertai Bengkel, Pameran dan Simposium ASEAN kedua di Manila. Saya bertemu lagi dengan A.D. Pirous, Rita Widagdo dan Heyi Mamun dari Bandung. Seterusnya pula, Pusat Islam Kuala Lumpur menganjurkan Pameran Indonesia Islamic Contemporary Art di Tapak International Islamic Arts Museum, Jalan Lembah pada 1994. A.D. Pirous ikut serta bersama-sama pelukis senegaranya dalam pameran itu. Selain kunjungan berpameran ke Malaysia, A.D. Pirous sering dijemput sebagai pemeriksa luar untuk Jabatan Seni Halus di Institut Teknologi Mara di penghujung tahun 90an, kemudian tugas itu diikuti oleh Setiawan Sabana.


Di tahun 90an juga saya sedang rancak mengembara ke seluruh Eropah dan Jepun. Oleh kerana ketika itu tidak ada kemudahan internet, saya sering menghantar surat atau poskad kepadanya, berkongsi cerita tentang pengembaraan saya. Biasanya, beliau tidak akan membalas surat-surat atau poskad saya. Mungkin beliau terlalu sibuk atau sengaja ingin menguji. Menurut saya seorang guru bukan sahaja akan menyediakan kertas peperiksaan untuk murid-muridnya, malahan dia akan menguji bila-bila masa yang disukainya! Pada Januari 2000, saya menerima surat balasan darinya dan beliau memulakan lembarannya dengan menulis. Akhirnya saya menulis surat kepada anda! Surat itu agak panjang dan berisi dengan dorongan dan semangat. Beliau seorang yang tajam memerhati,teguh dan sangat rapi orangnya mendidik dari jauh diseberang lautan dibatasi awan.



Bersama A.D.Pirous di Nagasaki 1993



Melalui Dewan Kesenian Jakarta, Rockefeller Foundation bercadang untuk menjemput seniman dari Indonesia dan Malaysia dalam Pameran Modernities & Memoirs, Recent Works from the Islamic World di La Biennale Venezia pada 1997. Pelukis Indonesia diwakili oleh Setiawan Sabana, Hendrawan Riyanto dan Anusapati. Dari Malaysia pula Zulkifli Yusoff muncul dengan karyanya yang bertajuk ‘Don’t play during Maghrib’


A.D.Pirous dilantik sebagai kurator untuk memperkenalkan seniman-seniman Islam dari rantau ini di pentas pameran dunia yang amat terkenal itu. Ini merupakan titik-titik sejarah 90an yang begitu panas dan meriah diantara pelukis kota-kota Indonesia dan Malaysia. Peranan Pameran Asian International Art Exhibition yang diketuai oleh Choong Kam Kow dari Malaysia dan A.D. Pirous juga tidak kurang pentingnya dalam membentuk persahabatan itu. Ini adalah kerana rata-rata delegasi dari Indonesia yang menyertai Pameran Asian International Art Exhibition berasal dari Bandung. Oleh itu hampir setiap tahun delegasi-delegasi ini akan bertemu dinegara-negara yang mengambil giliran bertanggungjawab menjadi tuan rumah untuk pameran tersebut.


Sempena Persidangan Negara-Negara Islam Sedunia yang ke 10 di Putra Jaya, pehak Balai Seni Lukis Negara telah menjemput khas, A.D. Pirous untuk mengadakan pameran perseorangan di premisnya pada 2003. Pameran ini bertajuk Words of Faith, sebagai penghargaan atas jasa-jasa beliau mengolah dan membina kesenian dan persahabatan diantara kedua buah negara. Beliau mengambil kesempatan datang melawat rumah dan studio saya serta menikmati hidangan dari buah sukun kegemarannya.


Pada 2012, ketika saya masih berkhidmat sebagai residen artis di Universiti Malaya, saya ke Bandung untuk menghadiri Seminar dan Pameran AD.Pirous 80tahun di Institut Teknologi Bandung dan Selasar Sunaryo. Saya bertemunya pagi itu dan beliau kelihatan masih sihat lagi bertenaga. Seperti biasa bila berjumpa saya , “Juhari, malam ini datang makan dirumah saya ,and don’t run away,” saya hanya tersenyum memandangnya tampa berkata apa-apa. Malam itu kami makan di dalam studionya bersama-sama teman-teman pelukis, siswa-siswa Institut Teknologi Bandung yang membantunya. Disana saya berkenalan dengan Kenneth M. George seorang profesor Antropology dari Amerika yang banyak menulis tentang karya –karya A.D. Pirous. Waktu kami pulang dari rumahnya malam itu jam sudah menunjukan pukul sebelas malam,tetapi yang pasti saya tahu beliau memulakan harinya dari subuh tadi dalam usia yang sudah mencecah 80 tahun!


Pada tahun berikutnya saya ke Bandung lagi. Kali ini dengan bantuan sahabat saya Setiawan Sabana dan Aminudin T.H. Siregar,saya mengadakan pameran solo yang bertajuk Hewan di galeri Soemardja, Institut Teknologi Bandung pada November 2013.Pameran dan bengkel senicetak kayu ini dirasmikan oleh A.D. Pirous.Ini merupakan sebuah catatan sejarah dan perjalanan karyawan-karyawan dua buah negara yang berjiran,yang asalnya dari rumpun yang sama tapi berkembang dan tumbuh dalam lingkungan geografi baru akibat dari faktor-faktor sejarah dan politik yang sukar dibendung ketika itu.


Benar sekali kesenian itu hidup tampa sempadan dan tiada garis pemisah.Tiada siapa yang mampu setakat ini boleh menyekat atau menampan alirannya.Ini adalah kerana ia berpunca dari naluri halus manusia yang menyelinap dan berkembang dalam manifestasi yang mungkin genting dan misteri.Maka dari sini ia secara alami membina jambatan kemanusian yang tidak bisa dirobah atau musnah oleh masa, geografi atau sejarah.

 


Juhari Said

Akaldiulu, Januari 2015


Dipetik dari katalog pameran solo A.D.Pirous, Versus of the Universe, 2015

University of Malaya Art Gallery(UMAG),University Malaya,Kuala Lumpur.



2 views0 comments

Recent Posts

See All

Komentarze


bottom of page