top of page
akaldiulu

JELMAAN SETIAWAN SEBANA

oleh JUHARI SAID



Garis lengkung mencakar langit

mendung

Kan kulepaskan naga

Bertakhta diatasnya


Latiff Mohidin, Garis Lengkung, 1967



Sejak dahulu, Setiawan Sabana sudah memelihara seekor naga besar, panjang, kuat, dan bertenaga. Kadang-kadang naga itu melingkar dan melilit sambil bersahaja. Menjalar lalu menghembus nafas berupa api atau bahang panas dari sebuah singgahsana "lengkung" yang tersembunyi di sebalik kabus tebal seni grafik sejak lebih 30 tahun yang lampau.


Seniman sejati mempunyai ruang tafakur, persegi keramat, atau pentas bersemayam. Sejak awal, ternyata Setiawan Sabana sudah mula membina ruang itu sedikit demi sedikit. Bahan binaannya pula berasal dari alam. Bulan bersama-sama matahari, juga pohon pisang, dan batang padi vang bakal hancur mereput untuk pulang ke bumi !


Ruang impian ini berupa tempat seorang pemikir, setelah puas memerhati dan menikmati di setiap pengembaraannya. Hasilnya pula ialah pandangan daripada mata bersama-sama hati yang dibentuk oleh fikiran yang berilmu serta kemahiran yang halus, tajam, dan teruji.


Semenjak "pengembaraan kertas" 1979, beliau tersedar bahawa ada seperti "roh" mengekorinya pulang dari pulau luas serta terbesar dunia itu. Dia terasa begitu dihampiri dan nyata bahawa itu ialah milik kepunyaan-Nya. Terbukti pengalaman tujuh bulan di Australia dan Jepun begitu membekas dan meninggalkan kesan yang begitu mendalam. Dia seperti dilanda "berahi" selama tujuh bulan! Dirinya ibarat di lantun ketujuh petala langit dan menjunam ketujuh petala bumi.


Keluasan laut menggerak dada nafas terpaut

pada rasa seluas maut.

Sitor Situmorang

Cinta, 1951-1955.


Inilah titik permulaan garis lengkung Setiawan Sabana. Garis lengkung ini biasa bertemu hujung dan pangkal kalau dipertanggungjawabkan sepenuh dan sejujurnya. Atau boleh hilang saja ditelan atau dibaham musim. Hal ini bukan garis permasalahan matematik atau garis kebuntuan teknik.


Permasalahan ini merupakan pencarian garisan makna serta tujuan hidup yang berlandaskan ketulusan dan keikhlasan, seperti lapisan kertas putih yang terasing tetapi masih ditembusi oleh sumber cahaya yang menerangi perjalanan seorang seniman. Sememangnya Setiawan Sabana pada peringkat permulaan sudah memperlihatkan serta memahami proses pengkaryaan itu berdasarkan rangka kerja yang bersifat menyeluruh. Keadaan ini jelas terbukti daripada simbol serta manifestasi garis lengkung yang sudah bertemu dan menjadi bulatan dalam banyak karya awal dan semasa beliau (rujuk karya bertajuk Mentari, Sky Scape - The Imaginative dan Pandangan Langit IV).


Cuma pengucapan ini hanya diterbitkan dalam karya seni grafik yang berukuran agak kecil, oleh sebab itu, sering terbiar dan terlepas daripada penganalisisan. Pada tahun 1994, ketika penulis masih menuntut dalama bidang seni grafik tradisional Jepun di Tokyo, penulis sempat mempamerkan hasil titik peluh penulis tajuk Kilimanjaro in Nagasaki.


Karya penulis yang berwarna hitam merah itu dijadikan poskad, lalu dikirimkan ke Bandung. Apabila Setiawan Sabana menerima poskad tersebut, penulis diberitahu bahawa beliau juga berpakaian hitam merah semasa perasmian Pameran Menyapa Alam, Merambah Kertas, pada tahun 1994.


Apakah ini kebetulan atau petanda gelombang primordial yang biasa merentasi ruang dan waktu, dan amat sukar dijangka difahami oleh akal?


Ketika itu iklim politik di Jepun agak panas dengan isu ancaman senjata nuklear dari Korea Utara. Ternyata negara matahari terbit itu begitu bijak menghadapi provokasi "Uncle Sam yang sering menangguk ikan di air yang keruh. Detik tahun 1994 begitu mengingatkan, bahawa kita harus menjadi dan bertambah dewasa setiap masa setiap detik, demi sebuah peradaban.


Selepas tahun 1994, penulis melihat karya Setiawan Sabana dari sudut yang agak berbeza-beza. Pada hemat penulis, beliau tidak merancang atau berhasrat untuk memberikan definisi baharu terhadap kaedah seni grafik secara umum atau secara khusus di Indonesia.


Jika pada awalnya, Setiawan Sabana dianggap melahirkan karya ikutan atau cangkukan Barat kerana membuat garisan asid atau sutera saring, itu hanyalah masaalah teknik yang kecil. Jika beliau dianggap menuruti kaedah seni grafik Eropah atau Jepun, itu hanyalah hal pengurusan.


Kita boleh akur pada resipi seni grafik moden kerana kita merasakan banyak lagi perbuatan peniruan dan ikutan yang sedang kita lakukan. Atau kita boleh sahaja bersembunyi merangkul semangat kesenian moden kerana memberikan banyak pulangan yang mengghairahkan. Barangkali kita boleh menolak terus, seperti talak tiga?


Jika diteliti karya Setiawan Sabana, secara halusnya beliau mengingatkan kita bahawa tiada apa-apa yang kekal dan sempurna dalam kehidupan ini, kecuali Dia Yang satu. Kita terlalu dihantar dan begitu kemaruk mendukung serta mengejar material, sedangkan objek sementara yang rapuh.


Hal inilah salah satu yang boleh kita pelajari daripada arkeologi, namun begitu, unsur keimanan ini sering dipinggirkan oleh obsesi dan keangkuhan parailmuwan yang sekular. Paling sinis dalam pameran tersebut apabila buku dan lebaran yang rosak mereput diletakan diatas tiang nota muzik di sudut ruang pameran. Secara terang terangan memberikan gambaran "terpinggir".


Satu penyataan yang menusuk bahawa kegemilangan serta kehebatan pada suatu masa dahulu, kini hanya menjadi nyanyian, siulan atau hiburan semata-mata. Tetapi dalam masa yang sama, beliau menggunakan beberapa buah rehal untuk mempamerkan lebaran yang rosak mereput itu.


Mungkinkah dia membisikkan sesuatu kepada kita tentang sebuah tanggungjawab dan nilai-nilai keilmuan yang hakiki? Hal ini demikian kerana rehal merupakan petanda serta simbol keilmuan dalam tamadun Islam. Atau, beliau ingin mengusik supaya kita terus berfikir sama ada mahu menjadi seperti sebuah rehal atau tiang nota muzik.


Keinginan dan perwatakan manusia juga begitu, beliau cuba menyampaikan mesej dalam karya kertas berbentuk tubuh manusia yang bergantungan dan bergelimpangan dalam ruang pameran. Bayangkan jika objek tersebut diperbuat daripada bahan berat, keras, dan pejal seperti batu, gangsa, besi, atau simen.


Secara umumnya kita akan menerima respons yang menular dan membebankan pandangan mata, kerana hal tersebut akan memberikan sisipan tentang kedegilan dan keangkuhan manusia. Tetapi kertas itu berlainan dan membawa maksud rupa, rasa rendah diri, atau akur lalu bertawaduk. Atau, dalam kalangan kita tidak terasa apa-apa kerana itu merupakan cara hidup kelompok masyarakat moden


Barangkali juga ada yang hanya akan mempercayai bahawa setiap pesanan dan pengertian yang dilihat dan didengar itu hanya tepat dan betul jika disampaikan oleh alat elektronik yang hebat. Bukan dengan medium yang buruk, lapuk, dan mundur.


Boleh dikatakan bahawa karya pameran Setiawan Sabana sebagai jelmaan prinsip dan tingkat kejiwaan beliau.Tanpa disedari, beliau melihat, bekerja, dan berkarya dengan memenuhi serta merangkumi segenap keperluan nilai murni kehidupan.


Karya-karyanya merupakan refleksi pendidikan awal "rumah bonda" yang berkembang dengan baik dan sihat. Hal ini merupakan kerlipan cahaya asuhan naluri yang diikuti, berkembang, dan ada kalanya boleh tersasar jauh jika seseorang itu tidak cukup hati-hati untuk menguruskannya.


Setelah puas mengembara beliau menjejaki bekas-bekas dan tanda-tanda silam. Kesan masa lampau ini dikutip, disusun, dan dibina semula. Kini, beliau boleh pulang dengan senang dan gembira meniti "titian lengkung" yang sudah bertemu dan telah menjadi jambatan peribadi untuk laluan hariannya.



Juhari Said

Dewan Budaya Julai 2013


2 views0 comments

Recent Posts

See All

Jambatan

コメント


bottom of page