Oleh JUHARI SAID
Kata menyirami sebenarnya adalah satu perbuatan serta perlakuan yang sebenarnya begitu akrab pada rasa dan fitrah keinginan manusia. Ia menjerumus kepada unsur dan niat lanjutan untuk membesarkan, membentuk, menggembangkan serta memanjangkan “sesuatu”. Adakalanya ia boleh mengarah kepada sebuah impian yang begitu tinggi. Ini adalah kerana menyiram itu adalah satu perlakuan harian rutin, tekal dan berulang-ulang sifatnya. Jika tidak segalanya akan terhenti, tidak boleh hidup lalu berkemungkinan akan mati.
Dengan segala alat serta bahan, Faizal cuba meneroka kemungkinan dalam senicetak, lukisan, catan dan sebagainya. Penerokaan ini mirip sebuah percubaan atau pencarian diri, kerana begitulah lumrah bagi seniman muda. Pencarian itu sebagai tanda tegak berdiri, bernafas bererti hidup. Semestinya juga berfikir, kerana itulah bukti orang yang berakal.
Kini beliau berdiri diatas sebidang tanah yang baru diterokainya. Dengan segala peralatan seperti parang, cangkul, tajak, atau sekarang dia sudah menggunakan mesin? Mungkin, benih dan baja serta racun organik juga digunakan, atau dia punya rancangan untuk cuba menggunakan racun serangga serta rumpai dari Monsanto! Tepuk saja dada tanyalah selera.
Pengisian karya Faizal mengingatkan saya kepada sebahagian rangka idea bagi sastera Nusantara berbunyi seperti berikut: “hati kuman sama dicicah, hati gajah sama dilapah”. Gabungan dua unsur yang jauh berbeza, tetapi saling memerlukan demi kefahaman erti kehidupan yang mendalam lagi benar. Bukan niat saya untuk menyamakan karya beliau dengan karya agung sastera lama kita, tapi itulah hakikatnya cara berfikir di daerah ini. Atau boleh juga ditambah;
Apa kurang pada belida
Rupa ada tulang pun ada.
Dengan sulaman bait;
Diam-diam ubi berisi.
Kedua-duanya bait tersebut mempunyai pengertian rasa rendah diri, namun penuh dengan usaha dan keyakinan. Gambaran- gambaran kelucuan dalam karya beliau juga sebenarnya wujud dalam lipatan sastera lama kita. Umpamanya melalui simpulan bahasa berikut; “besar tali dari beruk” atau “gajah ditelan ular lidi”.
Bagi mengakhiri nota pendek ini, boleh dipertegaskan bahawa sebenarnya alam itu adalah kehidupan kita. Apatah lagi Faizal sudah berdiri di hadapan taliair yang sedang mengalir deras, boleh menghanyutkan impiannya ke Beijing, Singapura, Manila atau juga ke Australia. Seterusnya ke lautan yang lagi dalam…
Juhari Said
Akal di Ulu
Oktober 2010
(Dipetik dari Pameran Solo Faizal suif ‘A piece of land’ Galeri Shah Alam 2011)
Comments