top of page

PULAU UKU YANG SENTIASA BERGERAK

oleh JUHARI SAID



Pada 1994,saya berangkat ke Tokyo atas tajaan Japan Foundation untuk belajar mokuhanga dibawah bimbingan seniman Yoshisuke Funasaka. Beliau sederhana, tebal jati diri dan sangat dedikasi orangnya. Belajar di Asahi Cultural Center cuma dua jam seminggu, selebihnya di studio saya di Tamagawagakuen. Saya sering dibawa berjumpa teman rapatnya bila ada pameran di galeri sekitar Tokyo. Sehinggalah saya pernah dibawa melawat Sado Hangamura Museum di Niigata.


Suatu hari guru saya Yoshisuke Funasaka membawa saya untuk menghadiri pameran solonya di Gallery Miyabi, Fukuoka. Sebuah bandaraya yang terletak di selatan pulau Kyushu. Fukuoka bukanlah begitu asing, kerana saya pernah berpameran disini pada 1988, 1991, 1992, 1993. Di Gallery Miyabi saya diperkenalkan kepada Encik Shigeharu Kawakami, seorang yang sentiasa senyum, selalu berhati-hati tetapi tegas orangnya. Beliau seorang pustakawan juga pengumpul karya seni di bandar Fukuoka. Inilah titik perkenalan saya dengan beliau. Kemudian pada 1995, saya dijemput untuk berpameran di Prefacture Museum Fukuoka. Disini saya jadi pembantu guru saya yang mengedalikan bengkel mokuhanga. Persahabatan saya semakin akrab bersama Encik Shigaharu Kawakami. Pada 1996 saya ke Fukuoka lagi untuk pameran solo saya di Gallery Miyabi. Kemudian beliau mula berkunjung ke Kuala Lumpur beberapa kali untuk berjumpa saya sekeluarga, dan saya pula sebenarnya hampir saban tahun ke Jepun dan sudah pasti saya akan ke Fukuoka seolah olah ia satu bandar yang dekat dihati saya selain dari Bandung di Indonesia.


Pada 1999, bersama Salmah Abu Mansur, Encik Shigeharu Kawakami berusaha untuk membawa pameran dua orang seniman dari Fukuoka iaitu Katsu Murakami dan Hideo Toyomasu ke Balai Seni lukis Negara, Kuala Lumpur. Katsu Murakami seorang seniman installasi dan Hideo Toyomasu pula seorang seniman yang membuat cetakan sutera saring. Perkenalan saya dengan Encik Shigeharu Kawakami, berkembang sehingga hampir setiap teman-teman saya yang pergi ke Fukuoka akan saya perkenalkan kepadanya. Pada 2002, sekali lagi Encik Shigeharu Kawakami dan Salmah Abu Mansur berjaya mengadakan satu pameran yang bertajuk OFF WALL OFF PEDESTAL di Akaldiulu. Seramai lima orang seniman instalasi dari Fukuoka datang berpameran serta disertai oleh dua belas orang dari Malaysia. Semasa pameran ini penduduk kampung, kanak kanak sekolah juga pelajar universiti bersama sama meraikan serta mendokong pameran ini. Encik Kawakami pernah memberitahu saya bahawa beliau sangat suka melihat sebuah masyarakat yang bekerjasama untuk kebaikan. Disini kesenian memainkan peranan bersama Galeri Uku untuk mencapai impian tersebut.


Kemudian pada 2013, saya bersama Galeri Chandan, telah mendapat kerjasama dengan Encik Kawakami untuk membawa lima belas seniman Malaysia berpameran di Asian Art Museum, Fukuoka. Disini saya bertemu dengan seniman Mamoru Abe jemputan pameran KEMBARA JIWA - EXPANDED PASSION bersama seniman Yoshisuke Funasaka. Semasa ASIAN ARTISTS RESIDENCY PROJECT-FUKUOKA 2016, beberapa orang seniman dari kumpulan kami telah berpameran di Uku Galery. Sangat jelas Uku Gallery itu adalah Shigeharu Kawakami dan Shigeharu Kawakami itu adalah Uku Gallery. Pulau kecil yang bernama Uku di Nagasaki, seperti Uku Galeri yang juga kecil di bandaraya Fukuoka. Tetapi rangkaian dan gelombang seni yang dibawanya jauh menebar arus ke seberang sempadan. Paling pasti Uku Gallery sangat mandiri!



Juhari Said

Akaldiulu

May 2021.


Esei ini ditulis untuk buku yang diterbitkan oleh Uku Gallery, Fukuoka, 2022. Diterjemahkan dalam bahasa Jepun. ISBN 978-4-947635-14-9

6 views0 comments

Recent Posts

See All

HITAM, PUTIH DAN YANG JERNIH

oleh JUHARI SAID Ini merupakan pameran solo Mamoru Abe yang kedua di Kuala Lumpur. Pertama di Galeri Chandan, Publika pada 2014. Pameran...

Comments


bottom of page