top of page

SEBERAT RASA SERINGAN TANGAN

oleh JUHARI SAID



Pakcik Yunus sering datang ke kebun saya kerana daun pisang hutan sumber rezekinya begitu banyak tumbuh liar di sepanjang tepian sungai. Pernah di suatu hari, beliau datang berjumpa saya untuk membeli setandan pisang. Katanya mahu bersedekah untuk surau di kampung. Lalu saya kata, jika mahu bersedekah tidak perlu dibeli, ambil sajalah. Selalunya bila habis mengumpul daun pisang, saya akan membawa minuman untuknya.


Anehnya dalam usia yang sudah mencecah 80an keletihannya langsung tidak kelihatan, malah beliau sentiasa bersemangat bercerita dengan saya. Ceritanya penuh dengan bidalan, pepatah serta pantun-pantun lama. Ungkapan – ungkapannya penuh ilmu dan pengajaran untuk direnungkan kepada sesiapa yang berminat dan terang hati. Ini kisah Pakcik Yunus yang suka bercerita. Menghidupkan budaya lisan lama, tetapi dalam masa yang sama mendidik, mengajar dan mengingatkan. Beliau menyambung tanggungjawab itu bukanlah dalam dewan kuliah atau forum perdana tetapi di bawah pohon bacang di hadapan rumah saya.


Bila kita berbicara tentang pantun seharusnya ia penuh berisi dengan budi bahasa yang tinggi kerana dalam budaya Melayu, budi itu amatlah besar dan dalam maksud serta pengertiannya. Budi melambangkan kebijaksanaan seseorang. Budi juga berkait rapat tentang perangai, akhlak, perwatakan, kebajikan serta kesungguhan. Suatu hari saya menumpangkan Pakcik Yunus dengan kereta saya untuk pulang ke rumah. Setiba di rumahnya, beliau terus menangkap seekor ayam lalu menghadiahkan kepada saya sebagai tanda terima kasih. Saya begitu tergamam akan sifat membalas budi yang bersahaja itu. Beliau bukan sahaja pandai berpantun tetapi begitu menjiwai. Pantun lama menjadi nyanyian hati, sehingga falsafah dan prinsip kehidupan itu sudah menjadi cara hidup yang hakiki.


Pantun itu milik ramai. Ia adalah warisan sastra kepunyaan bersama, kerana itulah ia tidak punya nama pencipta. Jadi bila Pakcik Yunus berpantun, beliau kelihatan amat bersahaja tanpa kerisauan untuk mengingati nama orang yang mencipta. Pantun dicipta dengan gaya bahasa harian yang mudah difahami supaya boleh dinikmati dan dihayati oleh segenap lapisan masyarakat. Pantun bermula dari bahasa alam kerana bagi orang Melayu, alam itu sebahagian dari kehidupan manusia yang perlu dihormati dan dijagai. Maka tidak hairanlah jika pantun itu dicipta dalam kerangka alam semulajadi. Apabila celana serta baju Pakcik Yunus diselaputi dengan getah pisang, dia tidak merasa apa-apa. Rezekinya begitu alami dan meresapi diri.


Dalam pantun Melayu, terdapat pula bahasa-bahasa kiasan yang mengenai sesuatu perkara dengan perbandingan atau persamaan perkara yang lain. Ini perlu difahami bahawa bahasa kiasan dalam budaya Melayu merupakan salah satu tunjang estetika yang penting selain dari perumpamaan dan perlambangan.


Pisau raut panjang sekerat,

Buat meraut rotan saga;

Ikan di laut asam di darat,

Dalam belanga berjumpa juga.


Secara prinsipnya pantun ini memperkatakan tentang jodoh, ajal dan pertemuan dalam kehidupan manusia. Adakalanya sesuatu yang begitu mustahil akan terjadi tanpa diduga oleh akal kerana ini adalah hukum alam. Seperti hujung sebuah pantun dibawah ini.


Jangan gegar jangan dijolok,

Biar masak gugur sendiri.


Dalam pantun Melayu, terdapat pula bahasa sindiran dan bahasa perasaan. Gaya bahasa ini juga disampaikan melalui pembayang – pembayang yang berunsur alami. Tetapi ia bertujuan untuk mencabar, menegur atau meluahkan perasaan.


Apa guna pergi ke bendang,

Kalau tidak bertanam padi;

Apa guna senjata disandang,

Kalau tidak berani mati.


Pantun diatas ditujukan kepada seorang pahlawan lelaki dan dalam masa yang sama adakalanya seorang lelaki itu juga mengeluh lalu meluahkan perasaannya tetapi penuh tertib seperti pantun di bawah ini.


Anak ikan kupanggang saja,

Hendak bakar tiada bara;

Anak orang kupandang saja,

Hendak minta tiada belanja.


Apabila seorang ibu menasihati anak lelakinya yang resah lalu berkata, berkasih pada yang sudi, meminta pada yang ada. Situasi diatas amat menarik untuk kajian bila perasaan atau emosi manusia itu diolah dengan cara bijaksana dan praktikal. Kehalusan akal dan budi di daerah ini begitu ‘intangible’ tidak ketara atau terang-terangan. Pantun mendidik masyarakat Melayu untuk mengawal perwatakan, menakhoda peradapan dalam situasi yang rumit dan genting agar mampu membuat suatu keputusan dengan tepat lagi bijaksana. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pantun adalah salah satu cara untuk orang Melayu mengurus emosi dengan sebaiknya.


Dalam sebuah kajian terhadap kecerdikan emosi atau emotional intelligence (EQ), orang-orang yang tinggi EQ adalah golongan yang memahami serta ahli tentang emosinya sendiri. Mereka adalah golongan yang suka ingin tahu dan berkemampuan meletakkan kebolehannya didalam situasi yang berbeza. Atau seperti kata orang tua-tua, kalau masuk kandang kambing mengembek dan kalau masuk kandang lembu menguak. Sastera Melayu itu penuh dan padat dengan unsur-unsur kecerdikan emosi. Mengajar masyarakat bukan sahaja memahami emosi atau perasaan tetapi mampu melihat kelebihan dan kekurangan itu sebagai satu sumber. Pakcik Yunus pernah bercerita kepada saya bahawa isterinya yang pertama tidak boleh melahirkan anak untuknya. Lalu mereka bermuafakat untuk berpisah dan Pakcik Yunus sendiri yang berusaha mencari calon suami untuk bekas isterinya. Alhamdullilah sekarang bekas isteri saya juga punya anak yang ramai seperti saya, katanya gembira.Begitulah hebatnya nilai budi seorang manusia.


Kata-kata dalam pantun harus sedap tetapi tajam serta bernas. Pantun itu bagai sebuah idea untuk mengatur pemikiran dalam masyarakat Melayu. Ia satu kaedah berfikir membentuk orang Melayu agar praktikal tetapi dalam masa yang sama penuh dengan kesenian yang membina. Dalam mengolah karya-karya yang berlandaskan pantun seorang karyawan itu harus mahir dan biasa dengan tradisi cara orang Melayu berfikir. Masyarakat Melayu selalu menggunakan kiasan atau perumpamaan terutama sekali bila menegur atau memberi pendapat. Sering juga dipanggil sebagai cakap beralas atau berlapik.


Karyawan harus melihat pantun itu sebagai sumber ilham yang besar, nipis dan berlapis-lapis. Dia harus bijak berfikir kerana pantun dicipta oleh orang bijaksana. Ia bukan dicipta sebagai bahan penyeri sastera. Pantun adalah rangkaian nilai pemikiran masyarakat dari pengalaman dan pemerhatian teliti. Perlu disedari bahawa bukan semua pantun itu pula boleh diterjemahkan dengan gambar. Seperti rasa manis atau pahit sudah semesti tidak boleh dilukis. Pantun itu adalah sebagai mangkin untuk kita berfikir, menjana kefahaman tentang prinsip kehidupan seharian. Karya yang dilihamkan dari pantun sebaiknya mampu pula untuk menerbitkan satu makna baru atau dimensi pemikiran yang lebih luas. Itu merupakan tugas paling berat dan rumit bagi seorang seniman. Dengan itu makna atau pengertian akan bertambah luas dan memberi lebih manafaat kepada segenap lapisan masyarakat yang membacanya. Sesungguhnya tugas seorang seniman itu seberat rasa seringan tangan!



Juhari Said, Akaldiulu,11 Ogos 2015.


Dipetik dari katalog Pameran Wajah Pantun, September 2015 anjuran DBP dan KITA (UKM),University of Malaya Art Gallery,(UMAG),University Malaya, Kuala Lumpur.


3 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page