top of page
akaldiulu

SENI CETAKAN UNTUK KARYAWAN KITA

oleh JUHARI SAID


Pameran seni cetak ini menampilkan satu pameran golongan seniman yang mengamalkan pendekatan displin yang agak berbeza. Mereka ini merupakan golongan seniman yang bergiat cergas dalam kesenian seni cetak, catan, arca, instalasi, dan seni khalayak. Kesemua seniman ini telah terdedah dengan displin, kaedah serta teknik seni cetak sejak awal kerjaya mereka. Sebahagian daripada mereka ini begitu konsisten mengamalkan displin seni cetak tradisi- ibarat tradisi yang tidak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.


Walaupun golongan seniman ini terdidik dalam disiplin tradisi seni cetak, ada segelintir mereka ini menunjukan kelainan dalam berkarya. Bukan niat mereka untuk menunjukan kelainan, tetapi berpunca dari gejolak pemikiran menjadikan mereka seniman yang kritikal. Mereka ini bukan sahaja mampu melahirkan cetakan tradisional seperti cetakan kayu, sutera saring, atau gurisan asid, malahan berjaya meluaskan makna seni cetak itu sendiri. Ia terlaksana oleh pengalaman, pemikiran dan kepakaran. Segelintir mereka ini juga menggunakan teknik seni cetakan tersebut dalam karya lazim, arca, instilasi, atau pun seni khalayak.


Semua ini merupakan cermin pertumbuhan yang begitu menarik kerana sebagai seniman, mereka bukan sahaja manusia kreatif, malahan bijak serta pintar dalam berkarya. Kesenian yang sebegini amat digalakan dan harus berkembang subur seperti manusia itu sendiri.

“Menjadi seorang sufi adalah menjadi seorang yang bebas dari idea-idea dan tangapan yang mengongkong: dan tidak cuba mengelakan diri daripada apa yang telah ditakdirkanya”. Abu Said ibni Abi - Khair


Seniman kebiasaanya seorang perindu kebebasan dan oleh sebab itu mereka melahirkan karya mengikut kehendak diri. Mereka akan mempertahankan setiap karya yang dihasilkan walaupun di sudut hati orang lain ditafsirkan penuh kesangsian. Hal ini dapat dilihat daripada hasil karya seniman seperti Ilse Noor, Loo Foh Sang dan Lee Kian Seng.


Ilse Noor, seniman berketurunan Jerman yang berhijrah ke Malaysia pada tahun 1974 nampak begitu setia. Sambal belacan, rendang serta sagu gula Melaka begitu sebati dalam jiwa karyanya. Pantun gurindam serta satera Melayu klasik yang bernada surealistik begitu mengancam visual generasi muda yang lebih arif tentang fantasi Batman atau Superman. Karya beliau seperti gunung Menara Permata (1994) dan kini dalam pameran bertajuk Istana Srinaga (2001) dan Cemerlang (2002) begitu teliti dan halus dari segi teknik dan khayalannya berbanding dengan seni cetak seniman di negara asalnya yang begitu rakus dari segi teknik atau pengolahan imajan.


Begitu juga dengan Loh Foh Sang yang sering berulang- alik di antara Paris dengan Kuala Lumpur. Lemah lembut budaya Malaysia begitu mengamit jiwa dalam karya terbaru beliau, walaupun sebelum ini kelembutan dalam karya beliau hanya diukir melahirkan garisan, warna dan jalinan seperti karya yang bertajuk Kebebasan (1996)


Dalam karya litografi Lee Kian Seng, siri siri ini dihasilkan pada 1977 dan 1978 dan bertajuk “off-fashion off” -  Karya ini sering dihasilkan berasingan tetapi untuk pameran ini ia dipamerkan serentak dan diberi nafas baru dibawah tajuk “ recycle”. Beliau bukan sahaja begitu pakar dalam bidang arca dan catan, semasa penulis menemu bualnya, Kian seng sering menekankan unsur tradisi tersebut.

Beberapa karyawan muncul dalam kegiatan kesenian tradisi ini. Wong Siew Lee dengan karya cetakan kayunya, cuba merakam gelojak sosiopolitik tempatan. Beliau yang pada awalnya mengikut pengajian Building Technology di Kolej Tunku Abdul Rahman begitu cenderung dalam jurusan seni halus, lalu setelah bekerja beberapa waktu beliau mengikuti kurusus tersebut di Central Art Academy. Melihat karya beliau yang begitu mantap, ia mengingtkan kepada penulis kepada beberapa karyawan seperti Sharmiza Abu Hassan, Shia Yih Yiing dan Nur Hanim Khairudin yang berkerja keras membanting tenaga berkarya bersama- sama tangungjawab keluarga serta anak-anak yang ramai.


Kesetiaan sebenarnya tidak perlu dilaungkan kerana ia boleh dilihat dengan hati. Golongan karyawan yang lain ialah seperti A. Rahman Mohamed, Low Yi Ching, Ahmad Nor Rashidi, Kelvin Chap, Saiful Rezal, Tan Keng Leong, Khairul Zikri Abdullah dan Low Khoong Hoi.


Seterusnya kita lihat pula ‘gejala’ segelintir karyawan yang diasuh dengan adat resam seni cetak tradisi. Gelodak kreativiti mereka amat sukar untuk dirahsiakan apalagi untuk dibendung. Satu contoh yang amat menarik ialah karya Alibi of Pulau Bidung (1980) oleh Ponirin Amin. Karya ini dihasilkan ketika Malaysia sedang dilanda masaalah pendatang haram Vietnam. Benang yang berupa jaringan yang merentangi di tengah- tengah karya tersebut bukanlah aneh bagi seorang nelayan, tetapi apabila jaringan itu diangap sebagai cetakan ia menggemparkan banyak karyawan. Apa lagi jika origami juga dianggap sedemikian.


Karya ini merupakan sebuah hasil kematangan kerana ukuran daripada cuban dan lipatan adalah sebagai acuan dan blok bagi pengkarya. Karya ini menjangkau garis sempadan makna atau mungkin juga boleh menduga tahap pemikiran karyawan tanah air yang begitu beku dan kaku terhadap kesenian tersebut. Dengan karya bertajuk Pelayaran 2 (2003), beliau Nampak begitu diplomasi, mencadangkan kepada kita untuk pulang ke pangkal jalan atau mencari akar umbi diri.


Seorang lagi seniman veteran yang tidak kita nafikan penglibatannya ialah Long Thien Shih atau lebih dikenali sebagai Pak Long. Dalam karya awalnya, beliau bukan sahaja cenderung kepada teknik akuatin yang halus serta mengiurkan, ,malahan kemahiran catannya membuat catan begitu memberangsangkan. Dengan pendidikan di London dan Paris serta pendedahannya di peringkat antarabangsa, beliau merupakan salah sorang daripada ‘gejala’ tersebut.


Dalam karyanya yang bertajuk The Dalang (2005), Thien Shin melepasi tradisi cetakan monotype yang berupa cetakan tunggal dan satu warna. Dalam karya ini pelbagai warna digunakan dan hasilnya seperti sebuah catan. Mungkin karya ini membuatkan roh Giovanni Castiglione tersenyum puas. Dua lagi karya beliau yang bertajuk The Link(1995) dan Flower Power(2003) juga mencerminkan gejala tersebut.


Seterusnya golongan yang nampak jelas mendukung ciri-ciri tersebut ialah seperti Izan Tahir, Jack Ting, Shahrul Jamil Miskon,Sabri Idrus, Jamil Mat Isa, Suhaimi Tohid, Raduan Man dan Ng Kim Peow. Semua ini merupakan barisan karyawan muda yang sudah menampakan petanda pemikiran kritikal dan penjelajah.


Zulkifli Yusof, Noorazizan Paiman dan Hazrul Marzan Rusli merupakan karyawan yang agak berbeza pendekatannya. Mereka sering giat membuat instalasi, arca dan seni khalayak. Dalam karya mereka lazimnya segala unsur pengkaryaan dikerah bersama. Teknik pengarcaan, seni cetak, lukisan, catan dan sebagainya sering digabungkan dan kadang kala tanpa disedari oleh mereka.


Karyawan juga arif tentang penggunaan teknik dan pengolahan iaitu Zulkifli Yusof kali ini menggunakan kain pelekat sebagai symbol dalam karya terbaru beliau. Namun unsur cetakan bukanlah sesuatu yang baru baginya kerana karya yang bertajuk Power 1 dan Power 2 (1991) adalah antara karya gabungan teknik yang begitu berjaya sekali pernah dihasikan.


Noor Azizan Paiman yang sering kali mencuit kita dengan bersahaja kali ini menggunakan susunan gambar rakaman diri. Kerap kali unsur cetakan dalam karya beliau tidak nampak begitu ketara dan inilah yang paling menarik. Karyawan muda Hazrul Mazran Rusli yang merupakan salah seorang pemenang Bakat Muda Sezaman 2004 muncul dengan karya yang agak cenderung kepada komentar sosial. Kemana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Begitulah dengan karyawan ini. Gaya bersahaja guru beliau amat jelas dalam karyanya yang bertajuk, Maksud dan Pembayang, cuma sedikit berbeza, Paiman lebih agak nakal orangnya. Teks timbul tersebut bukan sahaja berunsur cetakan malahan berupa sebuah perintah dan suruhan yang berat mungkin seberat batu simen itu sendiri.


Kesimpulanya, keseniaan ini memang boleh dikerjakan bersama walaupun dalam kalangan karyawan yang agak berbeza pendekatanya. Cuma pelaksanaanya tidak bisa tercapai jika ia dipandang dengan sebelah mata, apatah lagi kalau mata itu penuh prasangka dan kejahilan.


“Manusia menentang sesuatu disebabkan oleh kejahilan mereka ,El-Ghazali”

 

Juhari Said


Dipetik dari Kataloge Pameran British in Print/ Print in Malaysia, Balai Seni Lukis Negara, ISBN: 983-3497-03-9

4 views0 comments

Recent Posts

See All

Jambatan

Comments


bottom of page